‘Kalau penyatuan ummah majukan ekonomi, rakyat SG4 patutnya dah hidup selesa’ – Amirudin

‘Kalau penyatuan ummah majukan ekonomi, rakyat SG4 patutnya dah hidup selesa’ – Amirudin

SHAH ALAM – Rakyat di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa atau memperoleh pendapatan tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai dan Doha jika benar naratif penyatuan ummah boleh menyelesaikan masalah serta memajukan ekonomi.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari secara sinis berkata, Johor pula sepatutnya sudah menjadi Shenzhen Asia Tenggara dengan pelantikan 10 timbalan Exco baru-baru ini yang terdiri dari tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, dua (MCA) dan satu (MIC).

Bagaimanapun, menurut Menteri Besar Selangor itu, rakyat dari empat negeri tersebut tetap memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan selesa di Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

“Barisan Nasional (BN) perlu menyedari hakikat ini kerana tidak lama lagi mereka akan cuba ditelan oleh PN.

“Tanda-tanda PN ingin mendominasi BN sudah pun ada dengan ungkapan ‘Perikatan Barisan Nasional’.

“Sebaliknya, PH membuktikan bahawa gabungan perpaduan berasaskan kepercayaan merupakan koalisi berpandukan nilai, akhlak dan tekad mengangkat martabat rakyat supaya ekonomi Malaysia berjaya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, PN dan BN menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

PN melengkapkan kerjasama dengan BN apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu yang akan bertanding dalam pilihan raya dijadualkan berlangsung 1 Ogos depan.

Pengumuman berkenaan melengkapkan keseluruhan 36 kerusi DUN apabila BN terlebih dahulu mengumumkan 25 calon.

Mengulas lanjut tentang komitmen PH, Amirudin menegaskan prestasi parti-parti komponen itu bukan sekadar janji, tetapi bukti yang telah dinikmati rakyat Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan bahkan kini di peringkat Persekutuan.

Jelasnya, ia dibuktikan menerusi pemberian bantuan kewangan buat golongan susah bagi mengatasi kos sara hidup serta agama Islam yang terus subur di samping pengamalan agama lain.

Tidak cuma itu, kata Amirudin, generasi muda menerima peluang pendidikan dan pekerjaan berkualiti tinggi, keluarga menikmati rumah mampu milik manakala warga emas diberi sokongan atas jasa kepada negeri serta negara.

“Jika pihak lain ketandusan idea ingin menghantui rakyat dengan retorik politik ‘penyatuan ummah’, tekad PH pula berlandaskan ‘Kesatuan Rakyat’ selaras prinsip Rukun Negara bagi masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang makmur,” tegas beliau.

Scroll to Top