Sidang Parlimen perlu tumpu isu rakyat, COVID-19

Sidang Parlimen perlu tumpu isu rakyat, COVID-19

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa komited menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di negara ini khususnya apabila menyentuh desakan supaya sidang Parlimen disegerakan.

Namun, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan parti itu berpendirian sidang Parlimen harus menumpukan kepada usaha menangani pandemik COVID-19 tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

“Memang kita tahu sidang Parlimen akan diadakan tetapi jika agenda persidangan hanya membawa matlamat politik tanpa mengutamakan keselamatan dan kehidupan rakyat, ia tidak membawa sebarang makna ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas sesi mesyuarat bulanan jawatankuasa pusat parti GERAKAN, hari ini.

Dominic berkata, apa yang rakyat ingin tahu adalah tujuan dan agenda persidangan Parlimen itu.

“Adakah sidang itu akan bincang mengenai langkah menghentikan penularan wabak COVID-19 atau dasar menjamin keselamatan dan kehidupan rakyat.

“Sekiranya Ahli Parlimen membawa agenda politik masing-masing, sidang itu akan bertentangan dengan tujuan sebenarnya. Bermakna tiada persidangan Parlimen dan tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara dilaporkan berkata, sidang parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober.

Sehari selepas itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-raja menzahirkan pandangan sidang parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top