Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar semata-mata untuk meraih kemenangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Jadi mangsa fitnah
Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan dirinya turut menjadi mangsa fitnah termasuk dakwaan kononnya mengadakan perjumpaan bagi menyebarkan dakyah dalam kalangan anggota tentera dan veteran ketika berkempen.
“Pagi tadi ada pegawai saya hantar, dia kata ‘Ooh…Anwar panggil orang sebar di kalangan tentera. Saya pening, politik sampai begitu rupa. Dia ambil keputusan cut, paste, kemudian sahkan itu sebagai kenyataan.
“Saya bukan sempurna, saya ada banyak kelemahan. Saya juga dalam hidup banyak kesilapan dan kalau terlepas apa-apa keterlanjuran saya minta maaf, tetapi jangan fitnah saya,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), pada Jumaat.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Fitnah bukan jalan untuk raih kemenangan politik
Anwar menyatakan, pengalaman berdepan pelbagai fitnah dan layanan tidak adil sepanjang hidup mengajarnya supaya tidak menjadikan fitnah sebagai jalan untuk meraih kemenangan politik.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Dalam pada itu, beliau turut mengajak semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut serta memohon sokongan padu warga perkhidmatan awam bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara dan agenda reformasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Sumber: Bernama




