PETALING JAYA: Peningkatan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak membebankan kewangan negara sekiranya dilaksanakan secara bersasar dan dibiayai menerusi penjimatan subsidi pukal.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, sebarang kenaikan kadar SARA sememangnya akan menambah komitmen perbelanjaan kerajaan, namun kesannya terhadap kedudukan fiskal bergantung kepada cara bantuan itu dibiayai.
Menurutnya, jika bantuan itu diberi secara bersasar kepada golongan berpendapatan rendah, impaknya terhadap fiskal adalah lebih terkawal berbanding subsidi menyeluruh.
“Dalam keadaan ketidaktentuan global dan tekanan kos sara hidup, bantuan tunai seperti SARA boleh bertindak sebagai penampan kepada isi rumah rentan serta menyokong perbelanjaan domestik.
“Cabarannya ialah memastikan peningkatan ini tidak berlaku serentak dengan perbelanjaan besar lain tanpa hasil tambahan kerana itu boleh menekan defisit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan kadar bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, kadar baharu itu akan diselaraskan dengan pelaksanaan di Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh kebajikan rakyat.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rasyid berkata, peningkatan SARA tidak akan membebankan negara jika dibuat secara bersasar, dibiayai semula daripada penjimatan subsidi pukal dan disemak secara berkala.
Katanya, walaupun tambahan SARA akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan, ia boleh dianggap sebagai peralihan perbelanjaan sekiranya sumbernya datang daripada penjimatan subsidi pukal seperti RON95, diesel dan elektrik.
“Kalau ia datang daripada penjimatan subsidi pukal yang bocor kepada golongan T20 dan warga asing, ia adalah peralihan, bukan tambahan beban baharu,” katanya.
Aimi berkata, dalam keadaan ekonomi global yang perlahan, kuasa beli kumpulan B40 dan M40 perlu terus dijaga kerana bantuan seperti SARA akan dibelanjakan terus dalam ekonomi domestik.
“Matlamat SARA bukan untuk menggantikan gaji. Ia adalah alas keselamatan. Sasarannya ialah mengelak kelaparan dan mengekalkan kuasa beli, bukan mencukupkan semua perbelanjaan,” katanya. – UTUSAN




