am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan keputusan siasatan termasuk kadar tarif berhubung isu lebihan kapasiti dalam masa terdekat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penjelasan Putrajaya berhubung perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh Washington sebelum membuat keputusan.
“Dia (pihak AS) beritahu akan buat secepat mungkin. Saya percaya dia pun nak kena memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART). Perjanjian itu masih ada. Pada awalnya kita dikenakan tarif 19 peratus.
“Sekarang ini mereka baru mengenakan kadar 10 peratus terhadap Malaysia. Jadi ia (kadar) mungkin lebih tinggi atau rendah, saya tidak tahu,” katanya kepada Buletin TV3 hari ini.
Johari berkata, siasatan AS terhadap Malaysia membabitkan dua aspek iaitu lebihan kapasiti dan buruh paksa, serta tidak terbabit dalam aspek alam sekitar dan subsidi kerajaan.
Katanya, tarif baharu berkait buruh paksa yang dikuatkuasa AS bermula tengah malam ini membabitkan hampir semua produk Malaysia kecuali elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan farmasutikal.
Namun, beliau yakin kadar tarif 10 peratus itu tidak akan menjejaskan daya saing negara.
“Setakat ini, kami tidak melihat tarif 10 peratus itu memberi kesan ketara terhadap produk eksport negara. Memang ada beberapa produk yang mungkin terjejas kerana pengimport mempunyai pilihan untuk mendapatkan bekalan dari negara lain.
“Namun, memandangkan tarif yang sama turut dikenakan ke atas banyak negara lain, kami menjangkakan impaknya terhadap Malaysia adalah minimum dan tidak signifikan,” katanya.
Mengenai isu buruh paksa, beliau mencadangkan satu undang-undang baharu diwujudkan bagi menyaring barangan dan bahan mentah yang diimport dari negara ketiga daripada mengandungi elemen berkenaan.
“Saya kena bawa perkara ini, bincang dengan Kementerian Sumber Manusia. Kemudian kena bincang dengan Kementerian Dalam Negeri, selain pihak kastam.
“Isu ini juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, bukan sahaja dalam Malaysia, tetapi luar Malaysia yang kita import barang daripada luar dan kita proses. Kita buat produk tambahan dan kita eksport kepada AS. Kalau ada elemen buruh paksa ia akan menjejaskan produk kita,” katanya.
Beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer di Washington DC.
Lawatan itu katanya berjaya membantu Malaysia mengekalkan kadar tarif yang lebih rendah berbanding kebanyakan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




