BUTTERWORTH: Kementerian serta jabatan yang mempunyai kaitan dengan permohonan pengambilan pekerja asing termasuk untuk sektor restoran diarahkan supaya menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini demikian kerana, kerajaan kini tidak boleh lagi membuka semula sepenuhnya pengambilan pekerja asing semata-mata untuk mengatasi isu kekurangan tenaga kerja.
“Tetapi, saya setuju ada keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan pekerja ini di lapangan tertentu termasuk di restoran-restoran ini.
“Jadi, insya-Allah, mulai Isnin ini, saya beri tempoh ke kementerian-kementerian dan jabatan yang berkenaan untuk selesaikan lingkup keutamaan ini dalam tempoh satu bulan maksimum, mesti selesai,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Indian Muslim Transformational Framework (IMTF) di Pusat Konvensyen PICCA @Butterworth Arena di sini, malam ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Presiden Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN), Datuk Shahul Dawood.
Pada majlis yang sama, Anwar turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menyokong kebajikan serta pendidikan kanak-kanak kurang berkemampuan di bawah naungan MUKMIN.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan kekal komited untuk mendengar serta menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat India Muslim di negara ini khususnya berkaitan peluang pekerjaan, pembiayaan, pendidikan, perniagaan serta perumahan.
“Kita dengar pandangan anda semua supaya kita dapat lakukan penambahbaikan. Saya tidak pernah menganggap saya telah melakukan yang terbaik atau bahawa segala-galanya sudah sempurna. Saya sedar akan kelemahan saya dan saya juga sentiasa bersedia untuk belajar,” katanya.-UTUSAN




