PARIS: Agensi Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) semalam meletakkan beberapa lokasi termasuk Istana Beaufort di Lubnan yang baru ditawan tentera Israel serta sebuah tapak arkeologi di Tebing Barat yang diduduki, dalam Senarai Warisan Dunia Dalam Bahaya.
UNESCO dalam kenyataannya berkata, Istana Beaufort, sebuah kubu era Perang Salib yang turut dikenali sebagai Qalaat al-Shakif, ditawan tentera Israel yang melancarkan serangan ke atas Lubnan pada Mei lalu dalam konflik dengan kumpulan Hizbullah.
Istana itu adalah antara lima kubu di kawasan Jabal Amel di selatan Lubnan yang disenaraikan secara kolektif oleh UNESCO. Kawasan pegunungan berkenaan berulang kali menjadi sasaran pengeboman Israel sepanjang konflik.
Menurut UNESCO, kubu-kubu terbabit mengalami kerosakan selain terus berdepan ancaman akibat konflik yang disifatkan cukup serius sehingga memerlukan prosedur kecemasan bagi melindungi tapak warisan berkenaan.
Menteri Kebudayaan Lubnan, Ghassan Salame, menyifatkan keputusan itu sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memelihara mercu tanda bersejarah negara itu.
Beliau berkata, hanya dua daripada lima kubu berkenaan masih berada dalam kawalan kerajaan Lubnan, sambil mendakwa Israel memusnahkan Istana Shamaa serta mengancam untuk merobohkan Istana Beaufort.
Turut disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia Dalam Bahaya ialah Sebastia, berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat.
Tapak itu dipercayai merupakan bandar purba Israel dan kemudiannya bandar Rom, Samaria, yang namanya masih digunakan oleh Israel untuk merujuk kawasan utara Tebing Barat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Israel mula memberi perhatian terhadap tapak berkenaan yang terletak berhampiran bandar Palestin Sebastia moden, namun berada dalam kawasan yang dikawal sepenuhnya oleh Israel.
Pada 2025, Israel mengambil alih kira-kira 200 hektar tanah Palestin berhampiran tapak itu dengan alasan untuk tujuan pemeliharaan dan pembangunan.
Penduduk Palestin di Sebastia sebelum ini membangunkan industri pelancongan berasaskan tapak bersejarah berkenaan, namun rancangan baharu Israel dikatakan mengancam untuk mengetepikan komuniti tempatan menerusi pembinaan jalan khusus untuk warga Israel, pagar serta bayaran masuk.
UNESCO berkata, keutuhan tapak itu kini terancam oleh projek pengambilalihan yang bertujuan membahagikan kawasan tersebut dan mewujudkan Taman Negara ‘Samaria’ (Shomron).
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengkritik keputusan UNESCO itu dengan menyalahkan pihak Palestin, sambil menyifatkannya sebagai cubaan untuk memadam dan menafikan hubungan Yahudi dengan tanah ini.
Tapak-tapak berkenaan dimasukkan ke dalam senarai berisiko selepas mendapat undian sokongan daripada kesemua 196 negara anggota agensi PBB itu.- AFP




