Kuala Lumpur: Malaysia berisiko kehilangan satu lagi generasi sekiranya tiada tindakan lebih tegas diambil terhadap penyalahgunaan dadah khususnya dadah sintetik.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata,
masalah penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan, meskipun pelbagai usaha penguatkuasaan, program pemulihan serta kempen kesedaran awam dilaksanakan sejak bedekad.
“Peningkatan penggunaan dadah sintetik lazimnya lebih murah, lebih berbahaya dan lebih mudah dihasilkan berbanding dadah tradisional telah mengubah landskap penyalahgunaan dadah,” katanya semalam.
Lee berkata, kandungan dalam dadah itu boleh menyebabkan gangguan psikologi serius, tingkah laku ganas, halusinasi serta kerosakan otak kekal, selain komposisi kimianya juga boleh diubah suai bagi mengelakkan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.
“Ini sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mengawal penyebarannya,” katanya.
Menyifatkan kehadiran individu berkeliaran di jalanan dalam keadaan keliru, tidak tentu arah atau bertindak agresif akibat penyalahgunaan dadah sebagai amat membimbangkan, beliau berkata setiap individu yang kelihatan seperti `zombi’ di jalanan menjadi peringatan bahawa ada golongan yang tercicir daripada sistem pencegahan, rawatan dan penguatkuasaan negara.
Lee menegaskan penyalahgunaan dadah bukan lagi sekadar isu penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya cabaran terhadap kesihatan awam, pendidikan dan keselamatan negara yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh jentera kerajaan serta seluruh lapisan masyarakat.
Bagi memperkukuh respons negara, beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya mengisytiharkan penyalahgunaan dadah sintetik sebagai keutamaan negara dengan penyelarasan yang lebih kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan, mempergiat penguatkuasaan berasaskan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah, memperketat kawalan di sempadan negara serta membanteras penjualan dadah melalui platform dalam talian.
Beliau turut mencadangkan agar program pencegahan di sekolah, kolej dan universiti diperkasa menerusi pendidikan berterusan, perkhidmatan kesihatan mental untuk golongan muda diperluas, memperkasa ibu bapa dan keluarga untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah, program pemulihan dan penjagaan susulan berasaskan komuniti dipertingkatkan, teknologi dimanfaatkan bagi memantau trend kemunculan dadah baharu, serta melibatkan golongan belia sebagai rakan strategik dalam usaha pencegahan.
Lee berkata, penyalahgunaan dadah bukan sahaja memusnahkan kehidupan individu, malah melemahkan institusi keluarga, menjejaskan kesejahteraan masyarakat serta mengancam produktiviti dan masa depan tenaga kerja negara.
“Usaha memerangi dadah tidak boleh dipikul oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, sebaliknya memerlukan pembabitan aktif semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, sekolah, majikan, pertubuhan agama, pemimpin dan pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan golongan belia sendiri,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran negara melalui semangat perpaduan dan tindakan secara kolektif, dan kini negara perlu menunjukkan iltizam yang sama dalam menangani ancaman dadah sintetik, sambil menegaskan akibat yang ditanggung daripada sikap sambil lewa atau berpuas hati dengan keadaan semasa adalah sangat besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




