Labuan: Ketegangan geopolitik yang berterusan, termasuk konflik di Asia Barat, serta impak daripada fenomena El Nino menekankan kepentingan untuk memperkukuh keterjaminan makanan sebagai keutamaan strategik negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkembangan global muktahir ini menunjukkan bagaimana peperangan, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan boleh menjejaskan secara langsung pengeluaran makanan dan ketersediaan bekalan makanan penting di seluruh dunia.
“Ketegangan geopolitik yang berterusan, perang di Asia Barat, impak El Nino yang menjejaskan pengeluaran pertanian di banyak negara, perlu menjadi pengajaran kepada kita bahawa keterjaminan makanan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik,” katanya ketika melancarkan program Road To MAHA 2026 bagi Wilayah Persekutuan Labuan di sini, hari ini.
Mohamad Sabu berkata meskipun ketidaktentuan ekonomi global, cabaran tenaga dan risiko berkaitan iklim, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan Malaysia.
Sementara itu beliau berkata program Road To MAHA mencerminkan kerjasama strategik erat antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam mempromosikan sektor agri-makanan negara.
Mohamad Sabu berkata Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September depan akan membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, dengan fokus utama kepada pemodenan.
Katanya, MAHA 2026 akan mempamerkan teknologi pertanian canggih, termasuk automasi, robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan transformasi sektor pertanian Malaysia.
“Kita mahu melihat pertanian berkembang menjadi industri moden yang dipacu teknologi yang lebih produktif, berdaya tahan dan mampu memastikan pengeluaran makanan yang mampan untuk negara,” katanya.
Mohamad Sabu berkata siri Road To MAHA 2026 di seluruh negara, yang bermula di Kedah sebelum diteruskan ke Melaka, Klang dan Labuan, dijangka menarik penyertaan pengunjung yang lebih besar ke pameran itu.
MAHA 2026 yang menampilkan lebih 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa dijangka menarik empat juta pengunjung dan menjana RM58 juta transaksi jualan langsung.
Mengenai keterjaminan makanan di Labuan, Mohamad Sabu berkata pulau itu masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan makanan yang diimport, dengan kira-kira 90 peratus diperoleh dari Sabah dan hanya 10 peratus dihasilkan tempatan.
Bagi memperkukuh daya tahan makanan wilayah itu, Mohamad Sabu mengumumkan pelancaran Pelan Strategik Keselamatan Makanan Labuan 2026-2030, yang menggariskan strategi untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, mempertingkat sistem rantaian bekalan dan logistik, meluaskan penggunaan teknologi pertanian moden, menggalakkan penyertaan lebih ramai masyarakat dan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri.
“Inisiatif merentas kementerian itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membangunkan sistem makanan yang lebih mampan, bersepadu dan berdaya tahan untuk Labuan,” katanya.
Mohamad Sabu juga menyeru lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang pertanian dengan menyatakan negara perlu memupuk generasi baharu usahawan tani jika ingin menjadi antara pengeluar makanan terkemuka di rantau ini.
Beliau berkata Road To MAHA juga berfungsi sebagai platform untuk mengiktiraf sumbangan petani, nelayan dan penternak di samping menyediakan peluang yang lebih besar untuk memasarkan produk mereka dan mengembangkan kerjasama perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




