SURABAYA – Bekas Pengarah Utama Perusahaan Daerah Taman Satwa Kebun Binatang Surabaya (PD TS KBS), Choirul Anwar, ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan dana operasi syarikat milik kerajaan tempatan itu yang menyebabkan kerugian negara berjumlah 10.2 bilion rupiah (kira-kira RM2.3 juta).
Choirul yang menerajui Zoo Surabaya dari 2016 hingga 2024 ditetapkan sebagai suspek kes rasuah oleh Pejabat Pendakwa Raya Tinggi Jawa Timur (Kejati Jatim) pada Selasa.
Penetapan itu diumumkan oleh Penolong Khas Jenayah Kejati Jatim, I Gede Punia Atmaja, yang memaklumkan pengiraan awal bersama Badan Pengawasan Kewangan dan Pembangunan (BPKP) Jawa Timur mendapati kerugian negara mencecah 10,209,664,735.60 bilion rupiah.
Menurut Punia, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sekitar 7.4 bilion rupiah (kira-kira RM1.6 juta) dipercayai digunakan untuk kepentingan peribadi suspek.
Siasatan mendapati penyelewengan itu berlaku ketika Choirul memegang kuasa besar dalam struktur pengurusan PD TS KBS apabila merangkap tiga jawatan utama iaitu pengarah utama, pengarah operasi dan pengarah kewangan.
Keadaan itu menyebabkan kawalan dalaman syarikat menjadi lemah kerana tiada mekanisme semak dan imbang yang mencukupi.
“Suspek merupakan pengarah utama, namun pada masa sama turut memegang jawatan pengarah operasi dan pengarah kewangan. Jadi berlaku pertindihan jawatan,” kata Punia.
Menurutnya, kedudukan tersebut membolehkan Choirul mengarahkan jabatan perakaunan dan kewangan mengeluarkan wang tunai serta bajet syarikat untuk kegunaan yang tidak berkaitan dengan operasi sebenar.
Suspek juga didakwa menyediakan dan menandatangani sendiri dokumen pertanggungjawaban perbelanjaan bagi menjadikan pengeluaran dana berkenaan kelihatan sah.
“Secara automatik wang diambil, digunakan, kemudian dokumen pertanggungjawaban disediakan seolah-olah semuanya betul. Namun sebenarnya dokumen itu tidak benar atau bersifat fiksyen,” jelas Punia.
Penyiasat turut mendapati bagi tempoh 2023 hingga 2024, beberapa pengeluaran wang yang didakwa palsu turut mendapat persetujuan saksi yang dikenali sebagai MN yang ketika itu memegang jawatan pengarah kewangan.
Haiwan didakwa terkesan akibat peruntukan makanan dipotong
Kesan daripada dakwaan rasuah itu bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah didakwa memberi kesan terhadap kebajikan haiwan di Zoo Surabaya.
Antara perkara yang disiasat ialah manipulasi peruntukan makanan dan penjagaan kesihatan haiwan, apabila dana yang sepatutnya digunakan untuk memastikan keperluan nutrisi harian haiwan didakwa dikurangkan.
Punia berkata, keadaan itu menyebabkan pembangunan kemudahan zoo terbantut, kebersihan kawasan merosot serta beberapa fasiliti awam tidak diselenggara dengan baik.
“Selain merugikan kewangan negara, perkara ini menyebabkan Zoo Surabaya yang kita sayangi tidak berkembang. Kemudahan tidak dijaga dengan baik, kotor dan rosak,” katanya.
Beliau turut mendakwa pemotongan peruntukan makanan memberi kesan langsung terhadap haiwan yang ditempatkan di zoo tersebut.
“Haiwan menjadi kurang sihat, kurus dan ada yang berisiko mati akibat penjagaan yang tidak sempurna. Salah satu modus operandinya berkaitan dengan bajet makanan haiwan,” katanya.
Kes itu terbongkar selepas menerima aduan masyarakat serta laporan rasmi daripada Datuk Bandar Surabaya.
Pasukan penyiasat kemudian mengumpulkan bukti dan memanggil sekurang-kurangnya 20 saksi bagi membantu siasatan.
Punia menegaskan siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan terdapat suspek baharu yang terbabit dalam penyelewengan berkenaan.
“Rasuah tidak mungkin dilakukan seorang diri. Kami akan terus mendalami berdasarkan bukti yang ada,” katanya.
Berdepan hukuman penjara
Bagi tujuan siasatan, Kejati Jatim menahan Choirul selama 20 hari bermula 21 Julai hingga 9 Ogos 2026 di cawangan tahanan Kejati Jatim.
Suspek didakwa mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pencegahan Jenayah Rasuah Indonesia.
Kini, pengurusan Zoo Surabaya berdepan cabaran besar untuk memulihkan sistem kewangan, membaiki kemudahan serta memastikan bekalan makanan dan penjagaan kesihatan haiwan kembali berada pada tahap terbaik selepas didakwa terjejas akibat tindakan bekas pemimpinnya. -Agensi



