PRN N9: 'Kito Jago Nismilan' – Manifesto BERSATU tawar 76 inisiatif bawah 9 tunjang utama

PRN N9: 'Kito Jago Nismilan' – Manifesto BERSATU tawar 76 inisiatif bawah 9 tunjang utama

am@hmetro.com.my

Nilai: BERSATU menawarkan 76 inisiatif berpandukan sembilan tunjang utama pembangunan Negeri Sembilan melalui manifestonya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pelbagai insentif disediakan merangkumi semua peringkat masyarakat termasuk bercadang menggubal undang-undang dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan tahunan sama tanpa mengira parti.

Dengan tema ‘Kito Jago Nismilan’, manifesto itu dilancarkan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Bilik Gerakan Utama di sini, hari ini.

Sembilan tunjang itu merangkumi tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, anak muda, wanita, Felda dan kesejahteraan rakyat.

Pentadbiran bersih dan berintegriti menjadi keutamaan dengan mewujudkan jawatankuasa khas dianggotai golongan profesional anak Negeri Sembilan yang berkepakaran dalam pelbagai bidang untuk memantau semua tawaran berkenaan.

Institusi adat akan diperkukuhkan dengan menilai semula elaun dan menyediakan peruntukan pengurusan yang lebih sistematik buat semua ketua adat.

Sebanyak 50,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi disasarkan dalam tempoh lima tahun menerusi pembangunan Koridor Industri Halal NS dan Koridor Logistik NS.

Golongan peniaga kecil akan dibantu dan diperkasakan kecil menerusi dana bernilai RM5 juta selain memberikan pengecualian sewa selama dua tahun kepada penjaja berdaftar di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam milik pihak berkuasa tempatan.

Di samping diskaun sewa sebanyak 50 peratus di medan selera, pasar awam dan premis terpilih milik PBT.

Dari segi pendidikan pula, Nismilan EduFund bernilai RM25 juta akan diwujudkan untuk tabung akses pendidikan tinggi, Dana Prihatin Pendidikan (RM20 juta) dan memperkenalkan inisiatif Jom Poi Sekolah (RM2 juta setahun).

Turut diperkenalkan ialah inisiatif selamat ke sekolah dengan bantuan pengangkutan RM50 sebulan kepada 2,000 pelajar dan RM3,000 geran sokongan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Inisiatif Raikan Cinta Nismilan sebanyak RM500 kepada 10 setiap pasangan pengantin baharu yang memulakan alam rumah tangga selain RM15,000 untuk program latihan dan bimbingan usahawan serta Bantuan Lahir Nismilan bernilai RM250.

Turut ditawarkan ialah bantuan kasih ibu Nismilan sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu tunggal dan RM300 sebulan selama tiga bulan kepada wanita yang kehilangan suami atau berpisah.

Nismilan Critical Illness Fund (NCIF) bernilai RM25 juta akan diwujudkan bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit kanser, penyakit jantung, strok, penyakit buah pinggang serta bantuan alat implan ortopedik.

Turut ditawarkan ialah Dana Skim Sihat Nismilan bernilai RM10 juta untuk menyediakan perlindungan takaful dan rawatan asas dan Skim Khusus Khairat Nismilan Prihatin pula untuk penyediaan bantuan segera sebanyak RM500 serta bantuan RM300 setahun kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Dana Rumah Rakyat NS dengan peruntukan RM100 juta akan diwujudkan bagi menyediakan rumah mampu milik selain Insentif Rumah Pertama NS dengan bantuan sehingga RM5,000.

Muhyiddin menegaskan semua tawaran yang dikemukakan boleh dilaksanakan dan ia meliputi semua peringkat rakyat.

“Berbekalkan pengalaman, kepakaran dan komitmen tinggi bakal kepimpinan kerajaan negeri daripada BERSATU, kami yakin bahawa semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan telus untuk manfaat seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top