Penolong Pengarang Berita BH diumum Sasterawan Negeri Perak

Penolong Pengarang Berita BH diumum Sasterawan Negeri Perak

am@hmetro.com.my

Ipoh: Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Perak pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 (HSDR9), hari ini.

Hadiah kepada pemenang termasuk Anugerah Utama yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan Hafizah membawa pulang wang tunai RM30,000, watikah dan piala iringan.

Sebelum diumumkan sebagai Sasterawan Negeri, Hafizah yang berasal dari Chemor, di sini turut diumumkan sebagai pemenang bagi dua kategori iaitu Puisi menerusi karyanya – ‘Pada Lilin di Atas Kek’ dan kategori cerpen – ‘Secawan Kopi Pahit’.

Hafizah berkata, dia mula menulis sejak berusia 16 tahun selepas menyertai program minggu penulis remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, karya kreatif tulisannya dianggap sebagai terapi kepada kerjayanya dalam bidang kewartawanan.

“Sebagai pengamal media, saya banyak membaca dan ada banyak benda yang kita lihat setiap hari dan pandangan peribadi terhadap isu diterjemahkan kepada karya kreatif.

“Saya tidak meletakkan sesiapa sebagai inspirasi namun biasanya saya mudah ‘triggered’ (dipicu) dengan hal-hal semasa,” katanya ketika ditemui media.

Pada majlis sama, Anugerah Utama turut disampaikan kepada Mohamad Saleeh Rahamad sebagai Ilmuan Negeri Perak; Siti Zaleha Bee Mohd Hashim (Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak); dan Mohammad Hafiz Abdul Latiff (Pejuang Muda Sastera Negeri Perak).

HSDR9 mempertandingkan karya-karya terbaik yang diterbitkan sepanjang tahun penilaian 2024-2025 menerusi tiga kategori iaitu Kategori A (Buku/ Kumpulan), Kategori B (Eceran), dan Kategori C (Ilmiah), dengan secara keseluruhan sebanyak 286 karya diterima untuk dinilai oleh 11 panel penilai yang terdiri daripada tokoh serta pakar bahasa dan kesusasteraan lantikan DBP.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata Hadiah Sastera Darul Ridzuan yang kini memasuki edisi kesembilan menjadi antara wadah penting negeri untuk menghargai tokoh dan pengkarya, di samping memastikan karya yang baik terus diberikan tempat dan diperkenalkan kepada masyarakat.

Kata Saarani, penganjuran Hadiah Sastera Darul Ridzuan perlu dipertahankan bagi menghargai karya yang kuat, asli serta teliti bahasanya selain matang pemikirannya dan jelas suara pengarangnya di saat dunia penulisan kreatif kini turut dapat dikikis kecerdasan buatan (AI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top