Perlumbaan Formula 1 (F1) boleh lonjak ekonomi orang Sepang

Perlumbaan Formula 1 (F1) boleh lonjak ekonomi orang Sepang

am@hmetro.com.my

Sepang: Desas desus Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai lokasi acara mampu menghidupkan semula ekosistem ekonomi, pelancongan dan pembangunan bakat negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkembangan itu berlaku pada waktu beberapa perlumbaan F1 di peringkat antarabangsa berdepan risiko penangguhan susulan situasi geopolitik semasa di Timur Tengah.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus membuka ruang kepada Sepang kembali memainkan peranan sebagai lokasi ikonik dalam kalendar sukan permotoran dunia.

Beliau berkata, kepulangan F1 bukan sekadar membawa semula perlumbaan bertaraf dunia, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan, peluang perniagaan, pekerjaan dan pembangunan industri sokongan.

“Sejarah membuktikan bahawa penganjuran Formula 1 di Sepang antara tahun 1999 hingga 2017 berjaya mengangkat nama Malaysia di pentas global.

“Ia bukan sahaja menarik peminat sukan permotoran dari seluruh dunia, malah merancakkan sektor perhotelan, perniagaan tempatan, pengangkutan, pelancongan serta membuka ruang kepada pembangunan industri berkaitan teknologi dan automotif,” katanya tadi.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pengumuman berkaitan penganjuran Formula Satu (F1) di Malaysia akan diumumkan esok.

Dalam kenyataan ringkasnya kepada media, beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk pengumuman itu ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antabangsa Sepang (SIC).

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Aiman Athirah berkata, sekiranya usaha membawa kembali F1 direalisasikan, rakyat khususnya di Sepang akan menikmati limpahan manfaat ekonomi yang lebih meluas hasil peningkatan aktiviti perniagaan dan pelaburan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top