Dikesan menipu dalam buku memoir

Dikesan menipu dalam buku memoir

Ramai selebriti menjadi terkenal dengan menceritakan kisah orang lain, tetapi apabila melibatkan memoir, kandungannya sepatutnya benar-benar berdasarkan kehidupan mereka sendiri.
Namun begitu, agak mengejutkan apabila ramai selebriti terkenal didakwa telah menerbitkan cerita yang tidak benar. Berikut antaranya:-

Moby

Dalam memoirnya pada 2019, Then It Fell Apart, Moby mendakwa ketika berusia 33 tahun, dia pernah menjalinkan hubungan dengan Natalie Portman, yang menurutnya ketika itu pelajar Harvard berusia 20 tahun. Dia mendakwa selama beberapa minggu cuba menjadi teman lelaki Natalie, tetapi hubungan itu tidak berjaya. Menurutnya, hubungan tersebut berakhir kerana Natalie bertemu dengan orang lain.

Sebagai respons, Portman memberitahu Harper’s Bazaar bahawa dia terkejut apabila Moby menggambarkan tempoh singkat mereka saling mengenali sebagai satu hubungan percintaan. Menurut ingatannya, Moby jauh lebih berusia dan membuatkannya berasa tidak selesa ketika dia baru sahaja tamat sekolah menengah. 

Portman turut menegaskan dia bukan berusia 20 tahun ketika itu, sebaliknya baru berusia 18 tahun. Dia juga mengkritik ketiadaan proses semakan fakta oleh Moby atau pihak penerbit dan menyatakan terdapat banyak kesilapan fakta serta perkara direka-reka dalam cerita itu.

Jamie Lynn Spears

Dalam memoirnya pada 2022, Things I Should Have Said, Jamie Lynn Spears menggambarkan kakaknya yang jauh lebih terkenal, Britney Spears, sebagai seseorang yang berkelakuan tidak menentu, paranoid dan semakin hilang kawalan.

Sebagai respons, Britney menerbitkan satu kenyataan yang mempersoalkan bagaimana adiknya boleh membuat dakwaan tentang tingkah lakunya sedangkan Jamie Lynn jarang berada bersamanya pada waktu itu. Britney turut mempersoalkan sama ada perkara itu dibangkitkan semata-mata untuk menjual buku dengan menggunakan namanya.

Jamie Lynn kemudian menjelaskan bukunya bukan mengenai Britney. Menurutnya, dia tidak dapat mengubah hakikat dia juga dilahirkan dalam keluarga Spears dan sebahagian daripada pengalaman hidupnya sememangnya melibatkan kakaknya.

Britney bukan satu-satunya individu yang menuduh Jamie Lynn berbohong dalam memoirnya. Jamie Lynn turut mendakwa Alexa Nikolas, bekas rakan pelakonnya dalam Zoey 101, pernah menyebarkan khabar angin dia bersikap jahat dan kurang menyenangkan ketika mereka bekerja di Nickelodeon. Jamie Lynn juga mendakwa Nikolas pernah mengatakan dia berbau busuk, yang membuatkannya sangat malu dan sedih. Melalui Instagram, Nikolas menafikan dakwaan tersebut.

Alec Baldwin

Dalam memoirnya pada  2017, Nevertheless, Alec Baldwin mendakwa penerbit filem Mini’s First Time telah mengelirukannya mengenai usia Nikki Reed, pelakon bergandingan dengannya dalam beberapa adegan berunsur seksual.

Baldwin menulis bahawa ketika itu dia berusia 47 tahun dan tidak pernah terfikir untuk bertanya usia Nikki Reed. Menurutnya, dia hanya mengetahui pada penghujung penggambaran bahawa Reed berusia 17 tahun, lalu menjadi sangat marah terhadap pihak penerbit yang didakwanya telah memberikan maklumat berbeza.

Namun, penerbit Dana Brunetti menafikan dakwaan itu. Dia memberitahu The Hollywood Reporter, usia Reed tidak pernah disembunyikan daripada Baldwin dan Baldwin mengetahui Reed sebenarnya berusia 16 tahun bukannya 17 tahun ketika itu. Brunetti juga mendakwa Baldwin tidak pernah berhadapan dengan pihak penerbit mengenai isu usia tersebut.

Louise Linton

Louise Linton, seorang pelakon yang dikenali menerusi Intruder dan isteri kepada bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin, menerbitkan sendiri memoir bertajuk In Congo’s Shadow pada 2016. Buku itu menceritakan pengalamannya ketika mengambil tahun jeda untuk menjadi sukarelawan di Zambia.

Buku itu dipasarkan sebagai kisah inspirasi remaja berani yang meninggalkan kehidupan serba mewah di Scotland untuk pergi ke Zambia sebagai pelajar sebelum secara tidak sengaja terperangkap di pinggir konflik perang di Congo.

Selepas The Telegraph menerbitkan petikan daripada buku itu, Linton menerima kritikan dengan pantas. Antaranya, dia mendakwa bahawa selepas satu serbuan oleh pemberontak Congo, dia menghabiskan satu malam bersama orang lain di dalam pondok jerami lama sambil berharap mereka tidak ditemui ketika mendengar bunyi enjin bot pemberontak semakin menghampiri.

Dia turut mendakwa meninggalkan Zambia selepas serangan kedua apabila bunyi tembakan kedengaran di kawasan belukar. Namun, penduduk Zambia dan negara-negara sekitarnya mempertikaikan cerita tersebut. Mereka menyatakan tiada rekod mengenai kampung-kampung di Zambia diserang oleh pemberontak Congo seperti yang digambarkan dalam buku berkenaan.

Scroll to Top