Sri Semantan buka cawangan ke-20 di Johor

Sri Semantan buka cawangan ke-20 di Johor

KUALA LUMPUR: Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus memperkukuhkan penguasaannya dalam industri emas tempatan apabila membuka cawangan ke-20 di Kota Masai, sekali gus memperluaskan lagi kehadirannya di wilayah Selatan.

Cawangan yang dirasmikan Pengerusi dan Pengasas KESS, Mohamad Hafizal Mahmood itu turut menjadi pusat operasi kedua syarikat di Johor selepas Batu Pahat, selain berfungsi sebagai Wisma Sri Semantan bagi menyelaras operasi di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman berkata, pembukaan cawangan baharu itu dibuat bagi memenuhi permintaan pengguna terhadap emas preloved yang semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, konsep pembelian emas tanpa caj upah serta tawaran nilai tukar beli sehingga 100 peratus menjadi antara faktor utama yang mendorong orang ramai memilih emas preloved kerana lebih menjimatkan.

“Ramai pengguna kini melihat emas bukan sekadar barang kemas, tetapi juga sebagai aset simpanan. Sebab itu mereka lebih cenderung memilih emas preloved kerana menawarkan nilai yang lebih baik.

“Model perniagaan ini turut membantu mempercepatkan perkembangan syarikat sehingga kami kini mempunyai 20 cawangan di seluruh negara,” katanya selepas majlis perasmian cawangan berkenaan.

Sharif berkata, walaupun pasaran emas global ketika ini dipengaruhi ketidaktentuan susulan konflik geopolitik, permintaan dalam negara kekal memberangsangkan apabila beberapa cawangan syarikat berjaya merekodkan jualan melepasi sasaran.

Sri Semantan buka cawangan ke-20 di Johor
Mohamad Hafizal (tengah) bersama Sharif (kanan) dan Shaaini sempena pelancaran premis KESS ke-20.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md. Jumaat berkata, pemilihan Kota Masai sebagai lokasi cawangan baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik, selain berpotensi menarik lebih ramai pelanggan dari Singapura.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan pelanggan dari republik itu mendapatkan perkhidmatan di cawangan Shah Alam dan Kajang, namun pembukaan cawangan di Kota Masai menawarkan akses yang lebih mudah kepada mereka.

“Bagi pelanggan Singapura, cawangan ini lebih mudah diakses dan dijangka menjadi antara pemangkin pertumbuhan baharu syarikat di selatan tanah air,” katanya.

Bersempena pembukaan cawangan itu, KESS menawarkan diskaun RM20 bagi setiap gram pembelian emas selama dua hari, selain terus mengekalkan tawaran emas preloved tanpa caj upah sebagai nilai tambah kepada pelanggan. – UTUSAN

Scroll to Top