am@hmetro.com.my
Jelebu: Kenyataan didakwa dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi ceramahnya baru-baru ini, tidak akan membantu DAP meraih undi pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sebalikny, kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada warganegara Malaysia berketurunan Cina dan India, seolah-olah mereka tidak taat kepada negara ini.
“Saya taat kepada Malaysia. Saya warganegara Malaysia. Saya memegang pasport Malaysia. Saya mengangkat sumpah sebagai menteri di depan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, apa lagi yang perlu dipersoalkan kesetiaan saya kepada negara? Itu yang saya harap rakyat nilaikan kalau inilah fikiran mereka, inilah minda mereka, ke mana negara akan pergi sekiranya mereka diberikan mandat,” katanya selepas program minum petang @ Sungai Rotan, di sini hari ini.
Dalam ceramah di Jempol baru-baru ini, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan kaum bukan Melayu.
Loke yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah turut menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin.
“Ini bukan soal nak kita dapat undi (atau) kukuhkan undi Cina atau undi India. Ini satu kenyataan yang menyakitkan hati rakyat Malaysia.
“Sama ada pilihan raya atau tidak, ini sepatutnya tidak patut dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin politik.
“Kita dah duduk di Malaysia, negara kita dah merdeka hampir 70 tahun.
“Kita sepatutnya meraikan semua rakyat sebagai anak Malaysia walaupun kita ada pelbagai keturunan, pelbagai kaum dan pelbagai agama.
“Memang kedudukan orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan, itu tak pernah dipersoalkan tetapi orang Cina, orang India jadi warganegara sudah bergenerasi,” katanya.
Loke turut mengambil contoh kedudukannya sebagai generasi ketiga dalam keluarga, selain tidak mempunyai tempat di China.
“Saya ni generasi ketiga dah. Saya tak ada tempat di negara China. Kalau pergi China, saya pakai pasport Malaysia.
“Tempat saya, negara saya ialah Malaysia. Jadi, apabila kenyataan seperti itu dikeluarkan, ia menyakitkan hati warganegara Malaysia daripada pelbagai keturunan.
“Saya rasa orang Melayu pun tak suka kenyataan seperti ini. Mengapa nak diasing-asingkan? Kita cakap pasal bersatu, kita cakap pasal sebuah negara yang bersatu padu,” katanya.
Loke turut menafikan dakwaan wujudnya usaha daripada ‘kem’ Penasihat DAP, Lim Guan Eng untuk mensabotaj kempennya di DUN Chennah.
Beliau sebaliknya menyatakan ia hanya perang psikologi dimainkan sesetengah pihak.
“Itu langsung tidak betul. Itu hanya perang psikologi. Lim Guan Eng sendiri ada turun pada hari penamaan calon memberikan sokongan moral kepada saya.
“Tak ada apa-apa kebenaran kepada itu dan saya berterima kasih sebab jentera DAP memang ramai berada di sini dari semua negeri.
“Memang ada jentera yang turun membantu saya dan memberikan sokongan kepada saya. Jadi, dari segi jentera kita tak ada masalah,” katanya.
Sanusi dakwa kenyataan diputar belit
© New Straits Times Press (M) Bhd




