Serdang: Kedah mengukuhkan reputasi sebagai kuasa baharu ragbi remaja negara apabila muncul juara dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Ragbi NRDP National 7’s Bawah 18 Tahun 2026 yang berlangsung di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.
Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi National Rugby Development Programme (NRDP) itu menghimpunkan 32 pasukan mewakili ahli gabungan Malaysia Rugby, membabitkan 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bawah 18 tahun dari seluruh negara.
Dalam aksi final kategori lelaki, Kedah menampilkan persembahan cemerlang apabila menewaskan Selangor 24-5 untuk menjulang kejuaraan, manakala Johor meraih tempat ketiga dan Negeri Sembilan di kedudukan keempat.
Skuad wanita Kedah turut mengekalkan rentak cemerlang apabila menundukkan Johor 17-7 pada aksi final sekali gus melengkapkan kejayaan berganda kontinjen itu. Melaka menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala Pahang di kedudukan keempat.
Selain menjadi pentas merebut kejuaraan, kejohanan itu juga berperanan sebagai medan pemilihan terakhir bagi membentuk skuad kebangsaan bawah 18 tahun yang akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Asia Rugby Emirates 7’s Bawah 18 Tahun 2026 di Qingdao, China pada 5 dan 6 September depan.
Sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan, KRM akan mengadakan dua siri kem latihan pusat di UPM sebelum skuad kebangsaan berlepas ke China.
Pada masa sama, KRM turut mengumumkan pelantikan Mohd Syahir Asraf Rosli sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan Bawah 18 Tahun (Lelaki), manakala Rozliana Ridwan diberi tanggungjawab membimbing skuad wanita bawah 18 tahun negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




