2 remaja perempuan maut dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan di Teluk Intan

2 remaja perempuan maut dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan di Teluk Intan

Ipoh: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira 6.35 petang.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 28 tahun itu serta seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat, telah di hantar ke hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top