IPOH – Asal-usul nenek moyang rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersoalkan kedudukan mereka sebagai warganegara yang sah.
Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun, Kalaimughilan Arjunan berkata, kewarganegaraan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan selain mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama seperti mana-mana rakyat Malaysia lain.
Menurutnya, walaupun sebahagian masyarakat berketurunan Cina dan India mempunyai susur galur dari negara asal nenek moyang mereka, hakikat itu tidak menjejaskan status mereka sebagai rakyat Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Sanusi tidak wajar, boleh lukakan hati rakyat – Chang Lih Kang
‘Tak akan Sanusi nak cakap perkauman, PN pun ada pengundi bukan Melayu’ – Shahidan
Ucapan Sanusi dipetik di luar konteks, beliau hanya nyatakan sejarah – Penganalisis politik
Dr Sathia akui khilaf sebut ‘balik’ namun gesa dakwaan ‘perkauman’ Sanusi disiasat
Kenyataan Sanusi: Jangan manipulasi untuk raih sokongan politik – Syed Ali
“Apakah mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh seorang Menteri Besar kepada rakyat Malaysia, adakah kami rakyat berbangsa Cina dan India merupakan warganegara kelas kedua atau dianaktirikan?
“Sekiranya apa-apa berlaku kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina atau India ketika berada di luar negara, Malaysia yang akan melindungi mereka dan bukannya China atau India,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Kalaimughilan
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyentuh isu berkaitan asal-usul rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kalaimughilan berkata, PRN Negeri Sembilan sepatutnya menjadi medan untuk parti-parti politik menawarkan dasar, idea dan penyelesaian terhadap masalah rakyat, bukannya mengapi-apikan sentimen perkauman atau mempersoalkan kesetiaan rakyat berdasarkan kaum.
Beliau turut mendakwa politik yang dimainkan oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sentimen kaum dan agama bukanlah sesuatu yang baharu.
Menurutnya, Malaysia dibina atas semangat perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum sebagaimana yang ditekankan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
Sehubungan itu, beliau menggesa Muhammad Sanusi menarik balik kenyataan berkenaan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung.
Dalam pada itu beliau turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya membuat penilaian secara bijaksana dengan memilih pemimpin yang mengamalkan politik perpaduan, menghormati kepelbagaian kaum dan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat bukannya menjadikan agama serta perkauman sebagai senjata politik.
Terdahulu dalam penjelasannya mengenai perkara tersebut, Muhammad Sanusi menegaskan, ucapannya yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai kenyataan perkauman atau cubaan menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu.
Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PN menegaskan ucapan itu berpaksikan fakta sejarah yang pernah direkodkan dalam Parlimen British sejak 1946.



