PETALING JAYA: Pelakon, Rita Rudaini, mengimbas semula pengalaman julung kali berganding dengan pelakon veteran, Eman Manan dalam sebuah drama yang berjudul Tiupan Sangkakala.
Rita atau Rita Rudaini Mohammad Mokhtar 50, berkata, dia dikehendaki melakukan aksi menendang Eman ketika pelakon itu sedang menunaikan solat dalam salah satu babak.
“Masa ini, kali pertama dapat tawaran bergandingan dengan legenda, memang rasa seram sejuk pada babak pertama itu. Tapi, ada satu babak, saya kena sepak dia masa tengah solat.
“Penggambaran terpaksa dilakukan banyak kali kerana pengarah memberitahu babak berkenaan ‘bocor’ disebabkan sepakan itu nampak sangat menipu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menurut Rita, penggambaran babak tersebut berjaya dilakukan selepas Eman sendiri memberi keizinan untuk dia melakukan aksi berkenaan tanpa ragu-ragu.
“Abang Eman cakap, ‘tidak mengapa, sepak dan tendang sahaja betul-betul’. Dalam hati saya terfikir, bila masa lagi dapat peluang untuk menerajang Eman Manan.
“Dan sekali sepak sahaja terus pengarah kata ‘cut! Good!’. Tetapi kaki saya rasa macam terseliuh dan sakit sangat. Masa itu terus dapat balasan, keras betul badan dia macam sepak batu,” katanya.
Telefilem Tiupan Sangkakala (2010) diterbitkan oleh syarikat Luqsar Kreatif Sdn Bhd, diarahkan oleh Heykal Hanifah, serta dibintangi oleh pelakon utama Rita Rudaini dan pelakon legenda Eman Manan.




