Maribor: Persatuan Bolasepak Slovenia mengesahkan pengadil final Piala Dunia 2026, Slavko Vinčić secara rasmi menamatkan kerjaya pengadilannya.
Pengadil berusia 46 tahun itu dipilih oleh FIFA untuk mengadili final yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina sebelum memutuskan untuk bersara, seperti disahkan oleh persatuan bola sepak negaranya.
Menurut kenyataan rasmi itu: “Seminggu selepas final Piala Dunia di Amerika Syarikat, Slavko Vinčić secara rasmi menamatkan kerjaya pengadilannya yang bersejarah di pentas tertinggi dunia.
“Anak kelahiran Maribor itu menjadi pengadil utama pertama dari Slovenia yang mengadili final Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina di East Rutherford, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pengadil terbaik dalam sejarah.
“Sebagai kemuncak musim terakhirnya, Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) menobatkannya sebagai Pengadil Terbaik Piala Dunia, selain menerima anugerah berprestij Giulio Campanati di Itali.”
Persatuan itu turut menyenaraikan pencapaian terbaik Vinčić sepanjang kariernya, termasuk mengadili tiga final Liga Europa antaranya perlawanan akhir 2022 yang menyaksikan Eintracht Frankfurt menewaskan Rangers.
Dua tahun kemudian, beliau diberi kepercayaan mengendalikan final Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid dan Borussia Dortmund, dengan pengalaman luas dalam perlawanan berprofil tinggi dipercayai menjadi faktor utama pemilihannya untuk final Piala Dunia.
Sebaik dimaklumkan mengenai penghormatan itu, Vinčić dilaporkan mengalirkan air mata. Sepanjang kejohanan, beliau turut mengadili tiga lagi perlawanan termasuk aksi kalah mati antara Ecuador dan Mexico.
Dalam perlawanan itu, beliau melayangkan kad merah kepada Piero Hincapié selepas pemain Ecuador itu menutup mulutnya ketika bercakap dengan pemain Mexico dalam satu pertengkaran.
Vinčić turut melayangkan kad merah kepada pemain tengah Argentina, Enzo Fernández, pada final di Stadium MetLife selepas mengumpul dua kad kuning.
Juara dunia 2022 itu bagaimanapun dianggap bernasib baik kerana hanya seorang pemain dibuang padang, walaupun tindakan Leandro Paredes selepas masuk sebagai pemain gantian disifatkan tidak wajar.
Pemain tengah itu antara individu yang terbabit dalam pergaduhan selepas tamat perlawanan, dengan Vinčić bergelut untuk meleraikan pemain kedua-dua pasukan.
FIFA kemudian melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan, namun sehingga kini belum ada keputusan muktamad. Setakat ini, satu-satunya pengesahan rasmi ialah Paredes sebenarnya tidak dilayangkan kad merah oleh Vinčić selepas wisel penamat dibunyikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




