TENAGA Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara menerusi Perjanjian Pembekalan Elektrik (Electricity Supply Agreement, ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (Cooling Energy Supply Agreement, CESA).
Kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam memperluas penyelesaian utiliti bersepadu yang meningkatkan kecekapan infrastruktur awam kritikal di samping menyokong aspirasi negara ke arah kemampanan, peralihan tenaga dan jaminan keselamatan bekalan air.
Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor, loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).
Apabila siap sepenuhnya pada tahun 2031, loji ini dijangka membekalkan air terawat bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, kerjasama ini membuktikan bagaimana integrasi lebih erat antara sektor tenaga dan sektor air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara sekali gus menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Air Selangor untuk memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia serta ahli kepada Leading Utilities of the World (LUOW), memastikan operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan merupakan teras kepada janji jenama kami untuk menyampaikan kegembiraan dalam setiap titisan kepada para pengguna, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.
Kerjasama ini juga mengukuhkan peranan saling melengkapi antara TNB dan Air Selangor dalam memastikan kesinambungan dua utiliti awam paling kritikal negara.
Melalui integrasi penyelesaian tenaga yang inovatif dengan infrastruktur air yang strategik, kedua-dua organisasi terus menyokong aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan air negara, di samping mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam pembangunan infrastruktur kritikal.
Terdahulu, pertukaran perjanjian disempurnakan oleh Shamsul Ahmad dan Adam Saffian dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Majlis turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Air Selangor.
Dalam pada itu, perjanjian turut menjadikan Loji Rawatan Air Sungai Rasau sebagai loji rawatan air pertama di Malaysia yang menerima bekalan elektrik voltan tinggi secara terus pada voltan 132 kV, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan operasi salah satu aset infrastruktur air paling strategik negara.
Selain kerjasama tersebut, TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), juga akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada fasiliti Air Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur menerusi CESA dengan konsesi selama 20 tahun, sekali gus menjadikan Air Selangor sebagai syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan.
Melalui perkhidmatan TNEC, fasiliti berkenaan dijangka menikmati kebolehpercayaan sistem yang lebih tinggi, prestasi tenaga lebih mantap serta kecekapan operasi yang lebih baik berbanding sistem pendinginan konvensional secara kendiri.



