Lelaki cedera ditembak di Simpang Ampat

Lelaki cedera ditembak di Simpang Ampat

Simpang Ampat: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau cedera ditembak di luar deretan rumah kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi selepas mangsa dilaporkan selesai bersenam di sebuah gimnasium dan singgah di kedai serbaneka dalam bangunan yang sama untuk membeli telur.

Ketika hendak memasuki kereta, mangsa dikatakan didatangi seorang lelaki bertopeng dan memakai jaket hitam sebelum dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

Mangsa kemudian melarikan diri ke sebuah kedai makan berhampiran untuk menyelamatkan diri, namun suspek dipercayai mengejarnya sebelum melepaskan beberapa lagi das tembakan.

Salah satu peluru dipercayai terkena tangan kanan mangsa.

Suspek didakwa melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kejadian nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top