suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) menggesa tindakan tegas diambil terhadap 12 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan terhadap seorang warga asing, sekiranya terbukti bersalah.
Presidennya, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin berkata, pihaknya memandang serius laporan mengenai penahanan pegawai dan anggota PDRM daripada pelbagai pangkat berhubung kes berkenaan.
“Sekiranya dakwaan itu dibuktikan benar melalui proses perundangan, perbuatan itu satu pengkhianatan terhadap sumpah jawatan dan amanah diberikan oleh rakyat serta nilai murni yang menjadi asas perkhidmatan PDRM.
“RESPA menyambut baik tindakan pantas pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang disyaki terbabit.
“Tiada mana-mana pegawai atau anggota, tanpa mengira pangkat, harus dilindungi sekiranya melakukan kesalahan jenayah atau penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, kes terpencil seperti ini tidak sepatutnya menjejaskan reputasi puluhan ribu pegawai dan anggota PDRM yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, amanah serta sanggup berkorban demi keselamatan negara.
Mengulas lanjut, Meor Chek Hussein berkata, usaha memperkukuh integriti dalam PDRM perlu diteruskan menerusi pemantauan dalaman yang lebih berkesan, tindakan tatatertib yang tegas, latihan integriti secara berterusan serta kepimpinan yang bertanggungjawab.
Beliau turut menggesa supaya siasatan dijalankan secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang campur tangan.
Katanya, sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, semua pihak yang terbabit hendaklah dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
“Maruah PDRM tidak dipelihara dengan melindungi pesalah, sebaliknya dipertahankan melalui keberanian membersihkan pasukan daripada mereka yang menyalahgunakan kuasa.
“Ketegasan terhadap segelintir yang melakukan kesalahan adalah langkah terbaik untuk mengembalikan serta memperkukuhkan keyakinan rakyath terhadap institusi kepolisan negara,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap 12 anggota polis yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan terhadap lelaki warga Vanuatu yang membabitkan nilai RM2 juta.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid dilapor berkata, pembukaan kertas siasatan itu dibuat selari dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Sebelum ini, polis menahan seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




