SKUAD Harimau Malaya diingatkan agar tidak mengambil mudah cabaran Laos menjelang aksi kedua Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.
Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe menegaskan, tiada laluan mudah biarpun menyedari harapan tinggi yang diletakkan oleh penyokong untuk melihat Malaysia mencatatkan keputusan positif.
“Sudah tentu harapan terhadap kita agak tinggi untuk meneruskan perjalanan dengan meraih keputusan positif. Namun, kita tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan.
“Walaupun Laos tewas kepada Thailand sebelum ini, saya sudah menganalisis permainan mereka. Laos dibarisi ramai pemain muda, kebanyakannya di bawah usia 23 tahun dan kita perlu menghormati mereka,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin.
Cheng Hoe berkata, Laos dijangka hadir dengan corak permainan berintensiti tinggi dan barisan pemain negara perlu lebih berwaspada dengan serangan balas pantas yang boleh mengancam gawang Harimau Malaya.
“Mana-mana pasukan yang bertanding pasti mahu bangkit dan mendapatkan keputusan yang baik. Laos adalah pasukan yang rajin berlari dan motivasi mereka sangat tinggi kerana tidak mahu tewas buat kali kedua.
“Gaya permainan mereka lebih kepada serangan balas pantas untuk menjaringkan gol. Jadi kita perlu bersedia dan tidak boleh mudah kehilangan bola di kawasan sendiri secara tidak sepatutnya.
“Pada masa sama, barisan penyudah kita perlu lebih klinikal di hadapan gol,” ujarnya.



