PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) optimis kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini mampu mencapai antara 72 hingga 75 peratus berdasarkan sambutan dan suasana kempen yang berlangsung ketika ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan itu dibuat susulan perkembangan positif sepanjang tempoh berkempen selain keyakinan bahawa penyokong setiap parti akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Untuk Sabtu ini, berdasarkan suasana berkempen yang sengit di Negeri Sembilan, kita percaya penyokong akan ramai keluar mengundi.
“Kita menjangkakan kadar keluar mengundi sekitar 72 hingga 75 peratus. Insya-Allah kita sama-sama berdoa dan berharap supaya semua pengundi dapat keluar mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin.
Terdahulu, Ramlan memaklumkan sehingga jam 10 pagi, kadar keluar mengundi bagi pengundian awal telah mencapai 34.26 peratus, manakala SPR menjangkakan peratusan itu mampu melepasi 90 peratus menjelang tamat proses pengundian.
Menurutnya, sasaran tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk terdapat pasangan anggota keselamatan yang tidak lagi tinggal bersama berikutan perceraian serta beberapa kekangan lain yang menyebabkan kehadiran sukar mencapai 100 peratus.
“Namun kita berharap peratusan itu boleh melebihi 90 peratus kerana ketika pengundian awal di Johor sebelum ini kita berjaya mencatatkan 94 peratus,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 38 pusat mengundi awal melibatkan 70 saluran dibuka di seluruh Negeri Sembilan bagi membolehkan 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis menunaikan tanggungjawab mereka.
“Itu telah kita tolak undi pos di mana bagi tentera sebanyak 5,591 adalah pengundi pos dan polis pula 281 undi pos.
Katanya, semua pusat mengundi itu akan ditutup secara berperingkat iaitu 17 pusat pada jam 12 tengah hari, tiga pusat pada jam 2 petang dan baki 18 pusat pada jam 5 petang.
Dalam perkembangan sama, Ramlan berkata, sepanjang tempoh berkempen setakat ini, SPR menerima 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya yang kebanyakannya melibatkan isu kecil seperti bahan kempen.
“Secara umumnya semuanya berjalan lancar, tertib dan aman. Ada beberapa kes kecil yang telah diselesaikan. Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Negeri Sembilan kerana membantu memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik dan teratur,” katanya.



