Penjawat awam direman kes rasuah bawa bahan terlarang ke penjara

Penjawat awam direman kes rasuah bawa bahan terlarang ke penjara

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penjawat awam direman tiga hari selepas disyaki menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang ke dalam penjara untuk kegunaan banduan.

Perintah reman sehingga Khamis ini terhadap suspek lelaki berumur lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah penjara di Bentong dipercayai menerima kira-kira RM4,500 daripada ahli keluarga beberapa banduan sebagai upah membawa masuk bahan terlarang untuk digunakan oleh banduan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati bayaran rasuah itu dipindahkan ke akaun bank milik suspek antara Januari hingga Mac 2026.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top