London: Manchester City menerima tamparan awal menjelang musim baharu apabila tonggak tengah mereka, Rodri menjalani pembedahan kecil di bahagian belakang selepas sekian lama mengalami ketidakselesaan.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu memaklumkan pemenang Ballon d’Or 2024 berusia 30 tahun itu kini akan menjalani proses pemulihan, namun tidak menyatakan tempoh sebenar sebelum dia boleh kembali beraksi.
“Pemain tengah itu sudah lama mengalami ketidakselesaan, namun kini menjalani prosedur pembedahan bagi mengatasi masalah berkenaan dan akan memulakan tempoh pemulihan dalam masa terdekat,” kata City dalam satu kenyataan.
Menurut laporan media Britain, Rodri berkemungkinan terlepas aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris yang dijadual bermula pada 21 Ogos ini.
Rodri baru sahaja membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 sebagai kapten pasukan, selain dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.
Pemain tengah itu sebelum ini turut berdepan beberapa kecederaan serius di bahagian lutut sepanjang kariernya.
Rodri masih berbaki setahun dalam kontraknya bersama Manchester City dan dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Real Madrid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




