PGA serbu lombong, rampas jentera berat dan 360 tan bijih besi hampir RM3 juta

PGA serbu lombong, rampas jentera berat dan 360 tan bijih besi hampir RM3 juta

nfazlina@nstp.com.my

Kuala Krai: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur kawasan perlombongan dan merampas empat jentera berat serta 360 tan bijih besi membabitkan nilai keseluruhan hampir RM3 juta di Kuala Nal, di sini, tengah hari tadi.

Operasi dan serbuan yang dilakukan Batalion 8 menerusi Op Bersepadu Khazanah jam 1 tengahari itu turut dibantu Pejabat Tanah dan Galian.

Menerusi serbuan berkenaan, PGA turut menahan enam lelaki termasuk seorang warga emas.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata ketika serbuan dilakukan pihaknya mengesan empat treler dan eskavator sedang melakukan kerja-kerja memindah bijih besi ke dalam treler.

“Terdapat enam lelaki berada di kawasan berkenaan yang berperanan sebagai pekerja. Mereka menyerahkan surat kelulusan skim pengendalian melombong namun hasil semakan PTG mendapati permit masih sah sehingga 13 November tahun ini.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan di lokasi mendapati aktiviti perlombongan sudah diperluaskan sehingga melangkau kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen perlombongan.

“Susulan itu kesemua suspek berusia 31 hingga 63 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kita merampas empat jentera berat serta 360 tan bijih besi bernilai hampir RM3 juta.

“Kes diserahkan kepada PTG untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati bijih besi berkenaan yang diperoleh daripada aktiviti berkenaan akan dihantar ke Kuantan, Pahang untuk diproses.

“Berdasarkan penemuan berkenaan, tindakan risikan dan pemantauan secara berterusan akan diteruskan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen, mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat serta membanteras sebarang aktiviti perlombongan haram di negeri ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top