Perpaduan perlu menjadi asas kepada hala tuju negara, bukannya politik yang memecah-belahkan rakyat berdasarkan kaum dan agama, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh
Menurut beliau, rakyat Malaysia sebenarnya telah lama membuktikan bahawa mereka mampu hidup bersama dalam keadaan harmoni apabila saling berinteraksi, bekerja dan membantu antara satu sama lain dalam kehidupan seharian.
“Rakyat Malaysia tidak pernah berdepan kesukaran untuk hidup bersama. Setiap hari di sekolah, tempat kerja, pasar dan kawasan kejiranan, kita bertemu, bekerja serta saling membantu antara satu sama lain.
“Apa yang sering memisahkan kita bukanlah cara kita hidup. Sebaliknya, politik yang mengajar kita untuk saling takut dan curiga antara satu sama lain,” katanya menerusi satu kenyataan video di Facebook DAP.

Hannah berkata, pengalaman beliau turun padang menunjukkan rakyat lebih mengutamakan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi berbanding mempersoalkan latar belakang kaum atau agama individu yang menghulurkan bantuan.
Katanya, cabaran yang dihadapi rakyat tidak mengenal bangsa, justeru penyelesaiannya juga tidak sepatutnya dipengaruhi sentimen perkauman.
“Apabila jalan rosak, tiada siapa bertanya kaum mana yang akan membaikinya. Apabila banjir melanda, tiada siapa bertanya agama apakah yang dianuti oleh orang yang datang menghulurkan bantuan.
“Masalah yang kita hadapi tidak memilih mangsa berdasarkan kaum. Maka penyelesaiannya juga tidak seharusnya memecah-belahkan kita mengikut kaum,” ujarnya.
Beliau turut mempertahankan pendekatan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya dibentuk atas dasar kestabilan dan kerjasama demi kepentingan negara.
Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, sesebuah negara tidak mampu bergerak ke hadapan sekiranya rakyat terus dipupuk dengan perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita memilih sebuah kerajaan yang dibina atas kekuatan perpaduan.
“Bukan kerana kita bersetuju dalam semua perkara.
“Tetapi kerana tiada sebuah negara mampu bergerak ke hadapan jika rakyatnya sentiasa diajar untuk saling tidak mempercayai,” kata Hannah.

Mengulas mengenai kepentingan kestabilan politik, Hannah berkata, ia bukan sekadar merujuk kepada kekuatan angka dalam Parlimen, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kestabilan akan meningkatkan keyakinan pelabur, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membolehkan keluarga merancang masa depan dengan lebih yakin.
“Kestabilan bukan sekadar memiliki jumlah kerusi yang mencukupi di Parlimen. Kestabilan bermaksud perniagaan mempunyai keyakinan untuk melabur.
“Ia bermaksud pekerja mempunyai lebih banyak peluang. Ia bermaksud keluarga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin.
“Dan ia bermaksud anak-anak kita membesar tanpa mewarisi kebencian daripada generasi terdahulu,” ujarnya.
Pada masa sama, Hannah mengingatkan bahawa politik yang berasaskan ketakutan dan permusuhan tidak akan membawa Malaysia ke arah kemajuan.
Tambahnya lagi, tiada mana-mana kaum atau agama perlu dijadikan sasaran semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Kita tidak perlu menjatuhkan sesuatu kaum untuk mengangkat kaum sendiri. Kita tidak perlu membenci agama lain untuk mempertahankan agama kita.
“Dan kita tidak seharusnya memecah-belahkan negara hanya demi memastikan sesebuah parti politik memenangi pilihan raya.
“Politik mungkin boleh memenangi pilihan raya. Tetapi hanya perpaduan yang mampu membawa negara melangkah ke hadapan,” tambahnya.
Sumber: Facebook DAP




