syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Amira Othman menegaskan dia dan suaminya, Fattah Amin tidak pernah menarik balik laporan polis berhubung fitnah serta tuduhan melampau daripada seorang pemilik akaun media sosial palsu.
Amira menerusi hantaran di Threads menyatakan rasa terkejut dengan tindakan individu terbabit yang disifatkan semakin berani berselindung di sebalik identiti tanpa wajah.
“Ramai yang menghantar mesej peribadi (DM), malah menandakan (tag) saya dan suami supaya tidak menarik laporan polis bagi mencari siapakah Musang Berjanggut yang memfitnah kami dengan pelbagai tuduhan. Saya sendiri berasa seram apabila membacanya. Tidakkah mereka takut kepada Allah?
“Untuk pengetahuan peminat, kami tidak pernah menarik laporan itu. Malah, kami berulang kali membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain berjumpa dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bagi menangani isu ini,” tulisnya.
Menurut penyanyi lagu Hati Hati itu, isu buli siber perlu dibanteras secara serius dan memerlukan mekanisme tindakan yang tegas daripada pihak berkuasa bagi membendung penularan akaun palsu.
Dia turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak yang hanya menasihati mangsa supaya mengabaikan komen-komen toksik berkenaan.
“Selagi tiada mekanisme yang diwujudkan, masalah ini tidak akan selesai kerana pemilik akaun palsu tidak berasa takut memandangkan di Malaysia masih tiada tindakan yang benar-benar tegas. Akhirnya mereka hanya berkata, ‘Jangan baca sahaja.’
“Kalau kami tidak membaca dan tidak memberikan sebarang respons sekalipun, perkara ini akan menjadi semakin melampau. Lebih membimbangkan, ia boleh memudaratkan kesihatan mental dan emosi sesiapa sahaja yang menjadi mangsa,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Amira berharap kuasa tular dan sokongan netizen dapat membantu merungkai identiti sebenar dalang di sebalik akaun berkeaan.
“Kami tidak akan menarik laporan kerana kami juga ingin tahu siapakah ‘Musang’ yang kelihatan begitu berani berselindung di sebalik akaun palsu. Jadi, mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa tular, isu ini dapat diselesaikan,” tulisnya yang turut meletakkan tanda pagar #SayNoToCyberbully.
© New Straits Times Press (M) Bhd




