Meme tular: Zizan Razak tegur isu salah guna foto

Meme tular: Zizan Razak tegur isu salah guna foto

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Zizan Razak memberi peringatan kepada warga maya susulan penggunaan fotonya yang dijadikan kandungan tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Zizan, 42, berkata dia tidak menghalang orang ramai menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka, namun berharap tidak melampaui batas terutama membabitkan sensitiviti agama atau digunakan bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.

Pelakon filem Polis Evo itu berkata, dia sentiasa bersikap terbuka dan ‘sporting’, namun setiap perkara perlu mempunyai batas tertentu.

“Assalamualaikum kepada seluruh warga internet dan mereka yang mengenali diri ini. Tujuan hantaran ini adalah untuk meluahkan dan memberitahu bahawa saya memang seorang yang ‘sporting’ dan juga ‘fun’, tetapi semuanya ada batas.

“Berkenaan gambar saya yang tular sejak beberapa hari lalu, disunting dan diubah menjadi kelakar itu boleh, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” katanya menerusi hantaran di Threads, hari ini.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak turut menegur pihak yang didakwa mengambil kesempatan menggunakan fotonya bagi mempromosikan produk masing-masing tanpa mendapatkan kebenaran.

Katanya, sebarang penggunaan imej untuk tujuan komersial perlu mendapat persetujuannya terlebih dahulu.

“Selain itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin atau membuat bayaran.

“Pada pendapat saya, perkara itu adalah haram. Jadi renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” katanya.

Sebelum ini, Zizan mencetuskan fenomena di platform Threads apabila fotonya dijadikan ‘meme’ oleh pengguna media sosial.

Imej pelawak itu disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen ringkas yang mencuit hati sehingga menjadi tular.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top