HARIMAU Malaya berdepan laluan berliku pada kempen Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 selepas diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan India.
Kejohanan yang berlangsung di Indonesia dari 24 September hingga 3 Oktober itu bakal menjadi medan ujian buat skuad negara apabila perlu berdepan tiga lawan dengan karakter berbeza dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya.
Indonesia muncul cabaran paling mencuri perhatian apabila beraksi di laman sendiri, sekali gus memberi kelebihan buat skuad Garuda yang dijangka mendapat sokongan padu penyokong mereka sepanjang kejohanan.
Selain itu, Singapura turut menjadi lawan yang tidak boleh dipandang ringan berdasarkan sejarah persaingan antara kedua-dua negara, manakala India hadir dengan status pasukan yang semakin berkembang selepas mencatat beberapa peningkatan di pentas antarabangsa.
Undian itu memberi peluang kepada Harimau Malaya menguji tahap persediaan dan kemampuan pasukan berdepan lawan daripada latar permainan berbeza, terutama dalam kejohanan yang bakal menghimpunkan pasukan terbaik rantau ini bersama beberapa negara jemputan.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai format pertandingan, sistem kelayakan serta tarikh penuh perlawanan bagi setiap pasukan akan diumumkan kemudian selepas mendapat pengesahan pihak penganjur.
Piala ASEAN FIFA 2026 adalah edisi baharu yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus dijangka membawa dimensi baharu dari segi persaingan dan nilai komersial bola sepak serantau.



