Myanmar setuju ambil semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia -PM Anwar

Myanmar setuju ambil semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia -PM Anwar

Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia hasil hubungan diplomatik yang semakin baik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada awalnya Myanmar tak sedia terima

Memetik laporan daripada Bernama, usaha menghantar pulang pelarian Rohingya sebelum ini berdepan kesukaran kerana Myanmar tidak bersedia menerima mereka, namun keadaan itu kini berubah selepas beberapa siri rundingan.

“Orang kata hantar balik (pelarian Rohingya tapi), hantar balik ke mana? Hantar ke Myanmar…depa (mereka) dekat sana (sebelum ini) tak mahu terima (pelarian Rohingya ini).
“(Tapi) sebab hubungan baik (Malaysia) dengan Myanmar sekarang ini, dia (Myanmar) setuju ambil 5,000 (pelarian Rohingya) dulu dari Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan merangkap calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke.

Perkembangan itu hadir selepas ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin lalu selepas dibawa dari Pulau Pinang dengan menaiki tiga buah bas.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan kumpulan pelarian berkenaan telah dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri yang ditetapkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UNHCR.

Beri peringatan kepada pelarian

Mengulas lanjut, Anwar sekali lagi mengingatkan pelarian Rohingya di Malaysia supaya tidak mengganggu ketenteraman awam atau berkumpul di jalan raya dan kawasan awam.

“Saya dah bagi arahan (kepada polis), saya tak mahu (pelarian) Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam.
“Ini negara Malaysia, tak boleh dia ganggu kita. Jadi polis ambil tindakan, pindahkan mereka (ke satu kawasan),”katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang cuba mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam, sambil memberi jaminan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

Scroll to Top