Keputusan representasi bekas CEO, tiga akauntan GISBH 3 Oktober depan

Keputusan representasi bekas CEO, tiga akauntan GISBH 3 Oktober depan

Shah Alam: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 3 Oktober depan bagi keputusan representasi dikemukakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) serta tiga bekas akauntan syarikat itu berhubung 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta.

Hakim Fatimah Zahari menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan pihak pendakwaan baru menerima representasi tambahan daripada pihak pembelaan dan memerlukan kira-kira sebulan untuk menelitinya.

Empat tertuduh terbabit ialah Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan membabitkan lebih RM10 juta, Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan membabitkan RM11.4 juta, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, yang menghadapi 68 pertuduhan membabitkan RM4.7 juta, serta Mohd Khushairi Osman, 55, yang berdepan 91 pertuduhan membabitkan hampir RM12 juta.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Zaim Rosli mewakili Nasiruddin serta pasangan suami isteri Asmat @ Asmanira dan Mohd Khushairi, selain turut hadir peguam Kamal Hisham yang mewakili Hamimah.

Muhammad Zaim bagaimanapun tidak mendedahkan butiran representasi tambahan yang dikemukakan.

Pada 10 September 2025, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, membabitkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta syarikat pusat jagaan kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top