Athens: Seorang lagi anggota bomba maut ketika memadam kebakaran di hutan Greece, menjadikan jumlah anggota bomba yang terkorban dalam insiden berkenaan kepada tiga orang, menurut laporan media yang memetik perkhidmatan bomba.
Anggota bomba itu ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran lokasi kebakaran di Ageranos, selatan Peloponnese, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada Rabu.
Punca sebenar kematiannya masih belum diketahui, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Dua anggota bomba sebelum ini maut ketika memadam kebakaran di Pulau Crete selepas dilaporkan hilang arah dalam kepulan asap tebal sebelum kenderaan mereka dikelilingi api.
Sementara itu, kebakaran hutan di selatan Crete masih belum dapat dikawal, dengan ratusan anggota bomba berusaha memadam api yang merebak ke selatan Rethymno sejak Rabu, menurut pihak berkuasa perlindungan awam.
Kebakaran terbabit memusnahkan kawasan pertanian dan kebun zaitun yang luas, selain merosakkan beberapa kediaman serta bangunan ladang.
Beberapa perkampungan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, sementara pelancong di sekitar pusat peranginan Agia Galini dibawa keluar melalui jalan laut.
Timbalan Gabenor Crete Maria Lioni memberitahu televisyen Greece bahawa kira-kira 8,000 orang dari beberapa komuniti di kawasan itu telah dipindahkan ke tempat selamat.
Angin kencang yang sering berubah arah terus menyukarkan operasi pemadaman.
Menurut perkhidmatan kecemasan, operasi pesawat pemadam kebakaran dan helikopter terpaksa dihadkan, malah dihentikan sepenuhnya pada waktu tertentu.
Lebih 200 anggota bomba, puluhan jentera, sukarelawan, petugas kecemasan pihak berkuasa tempatan dan polis telah dikerahkan, dengan bantuan tambahan turut dihantar.
Sementara itu, kebakaran di wilayah Sitia, timur Crete, sebahagian besarnya berjaya dikawal, namun pasukan kecemasan kekal berjaga-jaga susulan ramalan angin lebih kencang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




