PELUMBA Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish, dilantik sebagai duta Taman Tema Genting SkyWorlds.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, pemilihan Hakim Danish sebagai duta membuka lembaran baharu dalam meraikan kecemerlangan bakat sukan negara, di samping mencipta pengalaman yang lebih bermakna buat para pengunjung.
Menurutnya, sebagai atlet muda yang terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, Hakim Danish merupakan rakan kerjasama dan duta yang amat sesuai untuk Taman Tema Genting SkyWorlds.
“Kami percaya kerjasama bersama Hakim Danish ini akan menjadi platform yang tepat. Tidak lama lagi, kami juga akan melancarkan tarikan bertemakan perlumbaan permotoran, iaitu Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing. Kami tidak sabar untuk melihat Hakim merasai sendiri tarikan itu.
“Pada masa sama, kami mahu memastikan kandungan dan produk berkaitan dapat terus dibangunkan menerusi kerjasama ini. Seperti yang kita tahu, apabila pengunjung datang ke Resorts World Genting, sama ada ke Genting SkyWorlds atau Genting SkyWorlds Indoor Theme Park, mereka akan menikmati pelbagai tarikan yang berkaitan dengan kelajuan, cabaran dan adrenalin seperti roller coaster.
“Oleh itu, menjelang perlumbaan Formula 1 yang dinanti-nantikan, inilah masa yang tepat untuk para pengunjung merasai sendiri keterujaan dunia perlumbaan di Taman Tema Genting SkyWorlds. Kami mengalu-alukan peminat sukan permotoran menikmati keseronokan dan cabaran yang menanti mereka di sini,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikan Hakim Danish sebagai duta Taman Tema Genting SkyWorlds di Resorts World Genting pada Khamis.

Spencer (kiri) selepas majlis MoU Hakim Danish (tengah) sebagai duta Taman Tema di Genting SkyWorld Theme Park, Resort World Genting.
Spencer berkata, buat masa ini perjanjian kerjasama itu ditetapkan bagi tempoh satu tahun.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya terbuka untuk meneruskan kerjasama berkenaan selepas tempoh tersebut berakhir.
“Apabila musim baharu bermula, kami boleh merancang kalendar aktiviti sepanjang tahun dan membina kerjasama ini dengan lebih menyeluruh.
“Kami bukan berada di sini sekadar untuk membuat keputusan berdasarkan satu perjanjian sahaja. Kami benar-benar komited untuk membantu bakat muda Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Hakim Danish melahirkan rasa syukur atas pelantikan tersebut yang disifatkannya mampu membantu mengembangkan kerjayanya sebagai pelumba.
Menurutnya, kerjasama itu turut memberi dorongan kepadanya untuk terus meningkatkan latihan, memperbaiki prestasi dan menjadi pelumba yang lebih baik.
“Lagipun, tempat ini sesuai dengan saya. Kalau lihat di sini, ada permainan berkaitan dengan kelajuan, macam ada kaitan dengan saya.
“Biasanya lumba motor ini penat. Jadi saya boleh datang ke sini untuk tenangkan diri,” ujarnya.



