PRN Negeri Sembilan: Zahid dakwa ada sekatan media sosial

PRN Negeri Sembilan: Zahid dakwa ada sekatan media sosial

TAMPIN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat beberapa saluran media sosial disekat pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, semua parti politik seharusnya diberikan ruang yang adil untuk menyampaikan pandangan kepada rakyat selagi mematuhi undang-undang serta etika pilihan raya.

Menurutnya, kebebasan bersuara yang pernah diperjuangkan oleh pihak tertentu ketika menjadi pembangkang sewajarnya terus dipelihara walaupun mereka kini berada dalam kedudukan berkuasa.

“Dalam keadaan tekanan yang begini terdapat beberapa sekatan yang telah dilakukan di media sosial apabila sesuatu saluran itu telah ‘diblackout’. Kita harap perkara itu tidak dilakukan kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan Tahun 2026 (JPKK) di Gemencheh pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, walaupun undang-undang boleh dikuatkuasakan, layanan yang adil perlu diberikan kepada semua parti tanpa mengira saiz atau jumlah calon yang ditampilkan.

Katanya, rakyat perlu diberikan kebebasan untuk menilai setiap tawaran dan pendapat yang dikemukakan supaya mereka dapat membuat pilihan sendiri pada hari pengundian.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa terdapat pelbagai taktik yang digunakan pada penghujung kempen, termasuk dakwaan berhubung tawaran yang melangkaui batas undang-undang pilihan raya seperti dibangkitkan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat berserta bukti dan saksi, justeru beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera jika berlaku pelanggaran Akta Pilihan Raya.

“Saya harap semua pihak berkempen secara berhemah, membangkitkan isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Negeri Sembilan dan memberi penjelasan secara santun tanpa sebarang unsur paksaan terhadap pengundi,” katanya.

Mengulas perjalanan kempen BN, Ahmad Zahid berkata, momentum sokongan terhadap gabungan itu terus menunjukkan peningkatan hasil gerak kerja jentera di peringkat lokaliti, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (DUN) serta negeri-negeri angkat di 25 kerusi yang ditandingi BN.

Beliau berkata, kerjasama turut berjalan baik di 11 kerusi yang tidak ditandingi BN menerusi persefahaman bersama jentera parti rakan.

“Kita merasakan gelombang biru itu benar-benar dirasai, namun kita mahu menterjemahkan gelombang itu kepada undi pada hari pengundian, 1 Ogos nanti,” katanya.

Mengulas arahan Presiden PAS supaya ahli parti itu menyokong calon BN di kerusi tertentu, Ahmad Zahid berkata, BN menghargai pendirian tersebut dan menjelaskan pihaknya turut menggerakkan jentera membantu calon-calon parti berkenaan.

Beliau menegaskan hubungan antara kedua-dua pihak ketika ini berasaskan persefahaman dan bukannya perjanjian rasmi, sambil memaklumkan segala bentuk kerjasama akan dibincangkan secara lebih terperinci selepas pilihan raya.

Scroll to Top