Serangan menggila AS selepas seminggu konflik reda

Serangan menggila AS selepas seminggu konflik reda

WASHINGTON – Situasi di Asia Barat kembali bergolak selepas AS melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Iran pada Khamis sebagai tindak balas terhadap setelah pangkalannya di Jordan sekali lagi didakwa menjadi sasaran misil balistik Teheran.

Serangan pertama selepas hampir seminggu jeda pertempuran itu berlaku ketika konflik semakin meluas melibatkan proksi Iran di rantau Asia Barat.

“Ia merupakan serangan balas paling agresif. Operasi itu bertujuan untuk meredakan ancaman yang ditimbulkan oleh Teheran dan proksinya terhadap pasukan tentera kami, perkapalan komersial serta negara-negara jiran di Teluk,” menurut Pusat Perintah AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

Operasi ketenteraan selama dua jam itu menyasarkan beberapa lokasi termasuk kawasan penempatan di selatan Teheran dan menyebabkan letupan kuat di sejumlah wilayah.

Menjelang kempen pencerobohan terbaharu itu, Presiden AS dengan angkuh menyatakan ‘kami akan menyerang mereka dengan ganas. Kami akan menghancurkan mereka’.

Sehari sebelum itu, AS bersama Arab Saudi membedil pangkalan proksi Iran di Iraq sebagai respons tegas ke atas serangan dron yang menyasarkan kemudahan minyak mentah Riyadh yang didakwa didalangi oleh Kumpulan Mobilisasi Popular (PMF) atau Hashed al-Shaabi yang bersekutu dengan Teheran.

Serangan itu telah meragut nyawa 20 anggota kumpulan tersebut. PMF mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut yang disifatkan sebagai tindakan yang mencetuskan ‘peningkatan ketegangan berbahaya’ terhadap sebuah institusi keselamatan rasmi Iraq.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera AS yang dikerahkan menyertai operasi di Asia Barat mungkin tidak lagi dibenarkan menggunakan telefon bimbit.

Komander Tertinggi, Laksamana Brad Cooper memberi alasan video yang dikongsi dalam talian boleh membantu risikan Iran mengenal pasti dan menyasarkan pangkalan tentera AS.

Sekatan penggunaan komunikasi mudah alih itu akan menambah satu lagi dimensi baharu kepada konflik bagi ribuan anggota tentera AS di rantau berkenaan. Kebanyakan mereka bergantung kepada telefon bimbit untuk berhubung secara berkala dengan keluarga di tanah air. – Agensi

 

Scroll to Top