Cerebral Palsy perlu rawatan rapi

Cerebral Palsy perlu rawatan rapi

bhnews@bh.com.my

DIANGGARKAN dalam 1,000 kelahiran, sekurang-kurangnya dua bayi menghidapi Cerebral Palsy, iaitu kecacatan otak atau otot yang paling lazim dalam kalangan kanak-kanak.

Penyakit Cerebral Palsy berpunca daripada kecederaan kekal pada bahagian otak dan berlaku kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

Ini disebabkan kanak-kanak seusia struktur otak belum atau baru mencapai tahap untuk matang.

Cerebral Palsy akan menyebabkan penghidap berdepan masalah pergerakan kerana otot gagal berfungsi dengan baik akibat kecederaan pada otak.

Pakar Perunding Perubatan Rehabiltasi, Klinik Pakar Perubatan Rehabilitasi Pediatrik, Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr Chern Pei Ming, berkata terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan Cerebral Palsy dan boleh berlaku pada bayi yang masih dalam kandungan.

Katanya, punca lain termasuk ketika bayi dilahirkan, bayi pramatang, ‘jaundice’, jangkitan kuman, strok, genetik atau kerana kekurangan oksigen.

“Cerebral Palsy juga boleh berlaku jika berlaku gegaran kuat pada bayi akibat kemalangan atau terjatuh kerana ia menyebabkan otak menjadi trauma,” katanya.

Punca dan tahap Cerebral Palsy

Cerebral Palsy mengakibatkan penghidap berdepan masalah sama ada penglihatan, pendengaran, pembelajaran, pertuturan dan sawan berikutan otak gagal berfungsi dengan baik.

“Bagaimanapun, kecederaan berlaku pada otak tidak merebak dan hanya kekal di bahagian itu sehingga kanak-kanak dewasa,” katanya.

Lima tahap Cerebral Palsy dan diklasifikasikan menerusi ‘Gross Motor Function Classification System’ (GMFCS).

• Tahap satu menunjukkan keadaan ringan dan penghidap masih boleh bergerak tanpa pertolongan orang lain.

• Tahap dua penghidap memerlukan bantuan orang atau peralatan seperti tongkat.

• Tahap tiga sehingga lima pula bergantung kepada keadaan fizikal penghidap kerana ada masih boleh berjalan tetapi menggunakan kerusi roda dan ada memerlukan bantuan kerusi roda sepenuhnya.

Cara mengesan Cerebral Palsy

Dr Pei Ming berkata, Cerebral Palsy boleh dikesan berdasarkan sejarah bayi, iaitu ketika lahir sama ada mempunyai masalah atau sebaliknya.

Jika bayi ada masalah, contohnya ketika lahir memerlukan bantuan alat pernafasan, doktor akan sentiasa membuat pemantauan.

“Justeru, penting pemeriksaan selepas ibu melahirkan bagi mengesan masalah bayi di peringkat awal terutama ada masalah ketika melahirkan.

“Jika pemeriksaan ada masalah tumbesaran, contohnya bayi berusia empat bulan tetapi tidak boleh mengangkat tangan, ibu bapa harus peka dengan keadaan ini.

“Jika bayi berusia sembilan bulan tetapi masih tidak boleh duduk atau berusia setahun tetapi tidak boleh berjalan, ini juga antara simptom Cerebral Palsy,” katanya.

Menerusi masalah itu, doktor akan melihat sejarah kelahiran sebelum mendiagnosis sebagai Cerebral Palsy.

Tiga jenis Cerebral Palsy

• Jenis pertama Spastic Cerebral Palsy – berlaku kekejangan otot sehingga menjadi keras dan boleh berlaku pada bahagian anggota kaki atau badan.
– Cerebral Palsy jenis itu berlaku kerana bahagian otak yang cedera menyebabkan kesan kepada ‘cortex motor’.

• Jenis kedua – Dyskinetic Cerebral Palsy, iaitu apabila kecederaan otak memberi kesan pada ‘basal ganglia’ menyebabkan pergerakan tidak boleh dikawal.
– Sebagai contoh apabila penghidap cuba menggerakkan tangan untuk mengambil barang, tetapi bahagian kaki yang bergerak

• Jenis ketiga – Ataxic Cerebral Palsy, iaitu gangguan keseimbangan badan yang memberi kesan kepada ‘cerebellum control’.

Kaedah rawatan

Katanya, penghidap akan mudah terjatuh dan sukar bergerak untuk membuat sesuatu seperti mengambil barang kerana masalah pergerakan tidak lancar.

Oleh kerana Cerebral Palsy adalah kecederaan pada otak yang kekal, tiada ubat dapat mengubati penyakit itu, namun rawatan pemulihan yang konsisten, pesakit mampu untuk berdikari.

Katanya, selepas jenis Cerebral Palsy dikenal pasti hasil pemeriksaan secara menyeluruh daripada satu pasukan pakar perubatan, rawatan boleh dimulakan dengan fisioterapi, pemulihan cara kerja, pertuturan dan sebagainya bergantung kepada pesakit.

“Rawatan bertujuan membantu penghidap mencapai tahap maksimum fungsi fizikal dan mental mengikut usia dan tumbesaran.

“Doktor akan mengkoordinasi jenis rawatan bermula dengan terapi. Kita lihat jenis terapi diperlukan seperti terapi pertuturan, pendengaran dan sebagainya.

“Lihat fizikal pesakit jika memerlukan sebarang alat bantuan seperti ‘ankle foot’ untuk berjalan atau tongkat.

“Juga sama ada pesakit memerlukan ubat-ubatan seperti suntikan untuk melembutkan otot yang kejang,” katanya.

Rawatan pembedahan

Rawatan pembedahan, contohnya jika tulang pinggul terkeluar, perlu dimasukkan semula bagi mengelak masalah pada masa akan datang.

Jika lutut bengkok mereka memerlukan pembedahan.

“Semua jenis rawatan pemulihan bergantung kepada keadaan pesakit dan usia serta tempoh pemulihan.

“Rawatan pemulihan tidak semestinya datang ke hospital setiap minggu. Jika sudah ada perkembangan baik, pesakit boleh buat terapi di rumah.

“Ibu bapa perlu peka, beri sokongan dan bawa anak jalankan rawatan susulan,” katanya. Contohnya, ada kes dengan pemulihan dan terapi anak diajar berdikari, mereka sudah boleh memakai baju sendiri dan ke tandas.

“Selepas beberapa tahun, pesakit mampu berdikari walaupun tidak normal seperti remaja seusianya tanpa mengharapkan keluarga,” katanya.

Jika pesakit berusia bawah 10 tahun, mereka akan diajar cara menggosok gigi, memakai baju dan sebagainya.

“Jika berusia belasan tahun, mereka akan dipersiapkan dengan alam dewasa dan pekerjaan supaya lebih bersedia berdepan dunia luar.

“Semua jenis rawatan pemulihan, bergantung kepada keadaan pesakit dan jika menunjukkan perkembangan baik, jenis pemulihan akan dipertingkatkan seiring dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa mempunyai anak Cerebral Palsy segera membuat rawatan pemulihan supaya berdikari.

“Jangan tunggu sampai fizikal anak teruk seperti otot terlalu kejang baru ambil tindakan kerana ketika itu sudah terlewat dan akan ambil masa untuk pulih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top