'Keluar mengundi ramai-ramai ya…' – Nurul Izzah

'Keluar mengundi ramai-ramai ya…' – Nurul Izzah

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berharap seramai mungkin pengundi di Negeri Sembilan keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Katanya, setiap undi amat penting dalam menentukan keputusan pilihan raya, dengan kini seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) giat menggerakkan usaha bagi menggalakkan pengundi keluar mengundi.

Beliau turut berharap peratusan keluar mengundi Sabtu ini tinggi, meskipun mengakui ia lazimnya lebih mencabar untuk dicapai berbanding pilihan raya umum.

“Saya fikir kita semua tahu bagaimana mencabarnya untuk mencapai peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam pilihan raya negeri berbanding pilihan raya umum.

“Justeru, segala usaha sedang dikerahkan, khususnya di bawah Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari, bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Masyarakat Asal di Kampung Orang Asli Guntur, Juasseh, hari ini.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top