BAITULMUQADDIS: Tentera Israel merampas tanah di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki bagi membina jalan menghubungkan dua penempatan haram baharu, menurut laporan akhbar Haaretz.
Menurut laporan itu, Ketua Pemerintah Wilayah Tengah Tentera Israel, Avi Blot menandatangani 15 perintah rampasan tanah di Kawasan A bagi membina laluan yang menghubungkan penempatan haram Noa dan Emek Dotan.
Menurut Haaretz, Noa dan Emek Dotan adalah antara penempatan haram baharu yang diluluskan secara rahsia oleh Kabinet Keselamatan Israel pada April 2026. Ia adalah sebagai sebahagian daripada pakej melibatkan 34 penempatan di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut kumpulan antipenempatan Israel, Kerem Navot, ini adalah kali pertama tentera Israel menggunakan perintah rampasan tanah di Kawasan A untuk menghubungkan penempatan haram.
Berdasarkan Perjanjian Oslo, Kawasan A berada di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Palestin. Undang-undang Israel melarang penduduk Israel memasuki kawasan itu, manakala PA bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran awam dan keselamatan.
Bulan lalu, beberapa pertubuhan hak asasi Israel memberi amaran lokasi penempatan baharu itu dirancang bagi melemahkan Perjanjian Oslo berdasarkan arahan politik.
“Pihak kami tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini. Sebelum ini, perintah rampasan tanah di Kawasan A digunakan untuk tujuan ketenteraan. Namun, kini ia jelas digunakan bagi mencapai matlamat awam dan politik, iaitu menghubungkan penempatan haram,” kata penyelidik Kerem Navot, Dror Etkes.
Menurut Haaretz, rampasan tanah itu dilakukan selepas Kabinet Keselamatan Israel meluluskan pembinaan 18 penempatan haram baharu di utara Tebing Barat, selain mengesahkan puluhan lagi penempatan yang diwujudkan kerajaan semasa.
Akhbar itu melaporkan kumpulan pertama peneroka dijangka berpindah ke dua penempatan berkenaan bulan depan, manakala kerja pembinaan infrastruktur dipercepatkan bagi mewujudkan ‘fakta di lapangan’ menjelang pilihan raya umum Israel pada Oktober. – AGENSI




