SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Seremban menafikan video tular yang memaparkan calon gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan didakwa mahu dirinya dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya mereka diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan.
Menerusi video tersebut, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek antara lain didakwa bercakap, Datuk Seri Mohamad Hasan melihatnya sebagai aset dan orang luar menilainya sebagai individu yang baik.
Dalam sidang media bersama yang diadakan, kedua-dua gabungan itu tidak menolak kemungkinan video tersebut dihasilkan dengan tujuan melaga-lagakan BN dan PN berhubung pemilihan calon pemimpin utama negeri.
Menerusi kenyataan media yang dibacakan oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Seremban, Rosmin Adam, beliau berkata, pihaknya memandang serius penyebaran klip video berkenaan yang jelas bertujuan mencemarkan imej Mohamad Rafie.
“Setelah diteliti, pihak kami mendapati suara dalam klip video tersebut adalah palsu dan dipercayai telah dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kami turut mendapati klip video tersebut telah disebarkan melalui mesej dan status WhatsApp oleh beberapa individu,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop Adam.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dalam satu lagi klip video yang mengaitkan Mohamad Rafie dengan pengagihan wang tunai kepada pengundi serta pembelian undi.
Beliau menegaskan bahawa, kedua-dua gabungan berkenaan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengagihan wang tunai atau pembelian undi seperti yang didakwa.
“Susulan itu, dua laporan polis telah dibuat dan kami berharap siasatan lanjut dapat dijalankan, termasuk oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Rosmin turut tidak menolak kemungkinan bekas ADUN Ampangan itu dijadikan sasaran kerana dilihat sebagai calon yang boleh menang oleh pihak lawan.
“Mungkin ada pihak tertentu yang tidak senang dengan keadaan itu dan cuba menconteng maruah ataupun menjatuhkan reputasi beliau dalam kalangan pengundi, selain cuba melaga-lagakan kami antara BN-PN,”katanya.
Tambahnya, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya penyebaran bahan fitnah serta penggunaan teknologi bagi menghasilkan kandungan palsu yang bertujuan mengelirukan rakyat dan merosakkan proses demokrasi.



