WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menyuarakan kekesalan dengan proses pemilihan presiden Iran yang disifatkan gagal dilaksanakan secara bebas dan adil.
Dalam reaksi pertama Washington terhadap kemenangan calon ulama ultra-konservatif Ebrahim Raisi, jurucakap Jabatan Negara berkata, rakyat Iran dinafikan hak untuk memilih pemimpin mereka sendiri dalam proses pemilihan yang bebas dan adil.
“AS akan tetap meneruskan rundingan tidak langsung dengan Iran mengenai penyertaan semula AS dalam perjanjian nuklear 2015 yang ditinggalkan Donald Trump,” kata jurucakap itu.
Dalam pemilihan presiden Iran, ramai calon politik utama dilarang bertanding. Raisi dilihat rapat dengan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, yang memegang kuasa politik tertinggi di Iran.
Tiga daripada calon mengundurkan diri dua hari sebelum hari mengundi kelmarin.
Berhubung perjanjian nuklear Iran, jurucakap Jabatan Negara berkata perbincangan tidak langsung di Vienna antara AS dan Iran menampakkan kemajuan yang bermakna.
“Kami akan meneruskan perbincangan bersama dengan sekutu dan rakan kami untuk saling mengembalikan kepatuhan terhadap Pelan Tindakan Komprehensif Bersama,” kata jurucakap itu.
Raisi semalam disahkan memenangi pilihan raya presiden Iran selepas memperoleh 62 peratus undi.
Presiden Iran, Hassan Rouhani, dilaporkan berkata penggantinya dipilih melalui proses yang terbuka, namun ramai yang sudah menjangkakan kemenangan Raisi, malah tiga lagi calon sudah mengakui kekalahan mereka. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




