MATTA Connect lonjak peluang industri pelancongan

MATTA Connect lonjak peluang industri pelancongan

IPOH – Penganjuran MATTA Connect (MCX) 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh rangkaian industri pelancongan selain merancakkan pertumbuhan sektor berkenaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong berkata, program itu menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan jaringan kerjasama lebih kukuh dalam ekosistem pelancongan.

Menurutnya, MATTA Connect bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya lahir daripada komitmen persatuan untuk memastikan ahlinya terus relevan dan berdaya saing dalam landskap industri yang sentiasa berubah.

“Platform ini diwujudkan bagi membolehkan pemain industri daripada pelbagai segmen termasuk pengendali pelancongan, ejen tiket dan MICE berhubung serta berkongsi peluang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian MCX 2026 disempurnakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Rabu.

Edisi kedua MCX menyaksikan peningkatan penyertaan dengan lebih 300 delegasi terdiri daripada pembeli, penjual dan profesional pelancongan dari pelbagai negara.

Edisi kedua MCX menyaksikan peningkatan penyertaan dengan lebih 300 delegasi terdiri daripada pembeli, penjual dan profesional pelancongan dari pelbagai negara.

Nigel berkata, pemilihan Perak sebagai lokasi persidangan selama dua hari itu dilihat signifikan dalam usaha memperluas peluang industri ke luar bandar utama selain mengetengahkan potensi negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, kerjasama erat dengan Tourism Perak turut menjadi faktor utama kejayaan penganjuran program berkenaan yang diyakini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.

“Penganjuran di Perak bukan sahaja menonjolkan keunikan negeri ini, malah membuka ruang kepada delegasi untuk meneroka produk pelancongan tempatan sekali gus merangsang pertumbuhan industri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur MCX 2026, Ken Chong berkata, edisi kedua program itu menyaksikan peningkatan penyertaan dengan lebih 300 delegasi terdiri daripada pembeli, penjual dan profesional pelancongan dari pelbagai negara.

Menurutnya, pertambahan penyertaan itu mencerminkan keyakinan industri terhadap MATTA Connect sebagai platform berimpak tinggi dalam menjana peluang perniagaan.

“Sepanjang dua hari penganjuran, sesi padanan perniagaan diatur secara teliti bagi memastikan setiap pertemuan memberi nilai tambah kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata, program itu turut menampilkan forum perniagaan yang membincangkan trend semasa industri termasuk perubahan tingkah laku pelancong, transformasi digital dan potensi pasaran baharu.

Selain itu katanya, pelbagai pembentangan produk pelancongan turut diadakan melibatkan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi memperkenalkan tawaran serta destinasi baharu kepada pasaran.

Penganjuran MATTA Connect 2026 turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Tourism Perak, Macao Government Tourism Office, Penang Global Tourism dan RHB Bank selaku rakan bank rasmi.

Scroll to Top