Polis siasat video tular aktiviti jualan air ketum di R&R Paka

Polis siasat video tular aktiviti jualan air ketum di R&R Paka

am@hmetro.com.my

Dungun: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dua rakaman video tular memaparkan aktiviti disyaki menjual air ketum secara terbuka di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, arah Kemaman ke Kuala Terengganu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika aktiviti program RXZ Members 8.0 yang mana lokasi itu adalah laluan utama peserta ke tapak penganjuran program.

Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, aktiviti jualan air ketum seperti yang dipaparkan dalam rakaman video sudah tiada.

“Kami memandang serius aktiviti penjualan dan penyalahgunaan air ketum atau sebarang barang terlarang termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya.

Ab Halim berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan serta penguatkuasaan khususnya di lokasi tumpuan orang ramai dan sepanjang penganjuran program berskala besar.

“Jika ada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat, kes ini boleh disiasat di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan akta dadah berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkan kepada IPD Dungun atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top