'Saya terkilan tak sempat angkat panggilan video arwah kakak'

'Saya terkilan tak sempat angkat panggilan video arwah kakak'

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang lelaki tidak menyangka panggilan video yang diterimanya semalam adalah terakhir daripada kakaknya yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan treler di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Maria Yusoff, 42, dan pemandu, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, serta anaknya, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, maut di lokasi kemalangan.

Kemalangan terbabit turut menyebabkan anak sulungnya, Nur Balqis Abli, 21, parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.

Adik mangsa, Mohamad Faizol Yusoff, 34, berkata, dia menerima panggilan video daripada kakaknya kira-kira 9 malam, namun tidak sempat mengangkatnya.

Katanya, dia menerima berita kejadian yang menimpa kakak dan anak saudaranya kira-kira jam 10 pagi sebelum bergegas ke Hospital Gua Musang.

“Saya terkilan kerana tidak sempat menjawab panggilan video daripada arwah kakak kerana sudah tidur. Kami memang sangat rapat dan selalu berhubung.

“Kakak seorang yang periang dan peramah.

“Biasanya dia akan memberitahu kepada semua orang jika dia ingin ke sesuatu tempat, namun kali ini dia tidak maklum ingin ke Cameron Highlands.

“Sebaik dapat berita mengenai kakak, saya terus bertolak dari Kuala Lumpur ke hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Gua Musang, di sini.

Mohamad Faizol berkata arwah kakaknya yang juga ibu tunggal meninggalkan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki masing-masing berusia 21, 17 dan 13 tahun.

Katanya, dua lagi anak kakaknya tidak turut serta dalam percutian sehari itu dan kini berada di kampung.

“Anak kedua dan ketiga arwah sudah mengetahui kejadian yang menimpa ibu mereka.

“Selepas ini anak-anak arwah akan berada di bawah jagaan saya dan adik-beradik yang lain.

“Suami kakak meninggal pada Julai tahun lalu dan kini kakak meninggal pada bulan yang sama iaitu setahun selepas suaminya pergi.

“Arwah kakak dan anak bongsunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kubang Tin, Melor, Kita Bharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top