Tidak wajar hukum hibah TH haram

Tidak wajar hukum hibah TH haram

SHAH ALAM – Tidak wajar menghukum hibah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh tertentu sebagai haram hanya berdasarkan dakwaan bahawa kadarnya melebihi kemampuan institusi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman sebaliknya berkata, penentuan hukum memerlukan penelitian terhadap fakta, asas perakaunan, undang-undang dan keputusan pihak berkuasa yang berkaitan.

Malah katanya, ibadah haji yang ditunaikan menerusi TH pada tempoh tersebut tetap sah selagi syarat, rukun dan wajib haji dipenuhi.

“Haji yang ditunaikan adalah sah, insya-ALLAH. Tidak ada asas syarak untuk mengatakan haji seseorang terbatal semata-mata kerana timbul pertikaian mengenai pengurusan hibah oleh institusi,” jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya wujud kelemahan dalam tadbir urus, dosa atau tanggungjawab syarie adalah ke atas pihak yang melakukan pelanggaran tersebut.

“Bukan secara automatik ke atas pendeposit yang menerimanya dengan niat dan sangkaan yang baik. Ini kerana, pada asasnya hibah yang diterima oleh pendeposit adalah harus dan halal, selagi ia diberikan oleh pihak yang berautoriti mengikut undang-undang dan keputusan institusi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sukki berkata, selagi tidak dibuktikan bahawa wang tersebut datang daripada sumber yang haram atau pemberian itu sendiri menyalahi syarak secara pasti, tidak wajar menghukum hibah yang diterima oleh pendeposit sebagai haram.

Ujarnya, pembiayaan dan pengurusan haji oleh TH adalah satu perkara, manakala kesahan ibadah haji bergantung kepada sempurnanya rukun, wajib dan syarat-syarat haji.

“Sekiranya seseorang menunaikan haji menggunakan wang simpanannya sendiri di TH dan beliau tidak mengetahui sebarang isu berkaitan tadbir urus institusi tersebut, tidak ada sebab untuk mengatakan hajinya tidak sah.

“Malah, sekiranya terdapat kesilapan dalam pengurusan sesebuah institusi, ia tidak secara automatik membatalkan ibadah para pendeposit atau jemaah haji yang tidak terlibat dalam keputusan tersebut,” katanya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH sebelum ini melaporkan, pembayaran hibah yang tinggi bagi tahun 2014 hingga 2017 telah melangkaui kemampuan kewangan TH.

Pembayaran ahihan keuntungan yang melebihi kemampuan kewangan TH sepanjang tempoh berkenaan menyebabkan rizab institusi itu semakin menyusut, sekali gus antara punca utama krisis kewangan yang melanda institusi tersebut.

Menurut laporan itu, kadar hibah yang tinggi turut menarik lebih ramai pendeposit yang mengejar pulangan lumayan, sekali gus menyebabkan LT terpesong daripada matlamat asal penubuhannya sebagai institusi simpanan untuk bakal jemaah haji.

Scroll to Top