WELLINGTON – Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, mencetuskan kontroversi selepas mengarahkan seorang Ahli Parlimen berketurunan Cina supaya ‘pulang ke negara asal’ ketika sesi perbahasan di Parlimen, sekali gus mengundang kecaman daripada pemimpin pembangkang, Perdana Menteri serta Duta China ke New Zealand.
Insiden itu berlaku pada Rabu apabila Ahli Parlimen Parti Hijau, Lawrence Xu-Nan, bertanyakan sama ada Peters telah menerima vaksin Covid-19.
Sebagai respons, Peters berkata: “Pulanglah ke tempat asal kamu, si bising. Di sana mereka berbohong seperti ikan sebelah, tetapi bukan di sini. Sini negara demokrasi, tidak seperti tempat yang kamu biasa.”
Xu-Nan dilahirkan di Tianjin, China sebelum berhijrah ke Auckland bersama keluarganya pada 1994 ketika masih kanak-kanak.
Kenyataan Peters segera mencetuskan bantahan daripada pemimpin pembangkang selain mengundang reaksi luar biasa daripada Duta China ke New Zealand, Wang Xiaolong.
Menerusi platform X, Xiaolong berkata, beliau lazimnya tidak mencampuri politik domestik New Zealand, namun menyifatkan kenyataan Peters lebih mencerminkan peribadi individu yang mengeluarkannya berbanding pihak yang menjadi sasaran.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, turut menegur kenyataan itu dengan menyifatkannya sebagai cubaan mencari perhatian yang tidak wajar.
Menurut Luxon, Peters mempunyai rekod mengeluarkan kenyataan provokatif bagi menarik perhatian media dan ahli politik, sedangkan rakyat lebih mengutamakan isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Kepada komuniti Kiwi-China, saya dan Parti Nasional sentiasa menyokong anda,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Peters enggan menarik balik kenyataannya dan terus mempertahankan tindakannya.
Beliau menyifatkan kritikan terhadap ucapannya sebagai ‘ satu bentuk kemarahan’ serta menegaskan beliau hanya mempertahankan demokrasi dan kebebasan bersuara di New Zealand.
Mengulas kenyataan Duta China, Peters berkata, reaksi itu hanya mengukuhkan hujahnya bahawa New Zealand mengamalkan kebebasan bersuara, berbeza dengan sesetengah negara yang menurutnya mengehadkan hak tersebut.
Sementara itu, Speaker Parlimen, Gerry Brownlee, mengakui kenyataan Peters adalah tidak wajar, namun menjelaskan tiada tindakan boleh diambil kerana tiada ahli Parlimen membangkitkan bantahan rasmi ketika insiden itu berlaku.
“Saya mahu melihat perbahasan yang lebih berkualiti di Dewan ini, tetapi akhirnya ia bergantung kepada tingkah laku setiap ahli Parlimen,” katanya.
Xu-Nan pula menyifatkan kenyataan Peters sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada prestasi kerajaan.
Beliau berkata, New Zealand ialah sebuah negara yang menerima kepelbagaian kaum dan berharap Perdana Menteri mengambil tindakan terhadap corak tingkah laku sedemikian dalam kalangan anggota Kabinet.
Kontroversi itu bukan kali pertama membabitkan Peters. Pada 2025, beliau bersama Timbalan Menteri, Shane Jones, turut dikecam selepas mengeluarkan kenyataan yang menyasarkan ahli Parlimen kelahiran luar negara sebelum kedua-duanya menarik balik kenyataan berkenaan.-Agensi



