am@hmetro.com.mymy
Seremban: Parti Amanah Negara (AMANAH) meluahkan kekecewaan terhadap kecenderungan sebahagian pengundi yang lebih terpengaruh dengan naratif politik identiti berbanding menilai prestasi pentadbiran yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, berkata strategi kempen PH yang berteraskan pencapaian dan rekod perkhidmatan seolah-olah dipandang remeh oleh sebilangan masyarakat, khususnya pengundi Melayu.
Beliau berkata, parti lawan seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya lebih cenderung menggunakan sentimen perkauman dan isu ‘ketakutan’ terhadap DAP untuk meraih sokongan.
“Saya ingin menyatakan kekecewaan kerana kempen PH yang berasaskan prestasi tidak mendapat sambutan.
“Persoalan prestasi dilihat remeh, manakala isu politik identiti mendominasi iaitu timbul naratif bahawa orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman kononnya daripada DAP.
“Malah, timbul dakyah kononnya jawatan Menteri Besar dan institusi diraja berada di bawah kawalan DAP.
“Ini menyebabkan orang Melayu mengundi berdasarkan sentimen takut, manakala persoalan prestasi langsung tidak diberikan perhatian,” katanya pada sidang media, di Pusat Gerakan Operasi PH, di sini, malam ini.
Khalid berkata, apabila PH mengetengahkan hujah berfakta mengenai prestasi dan pencapaian pentadbiran, pihak lawan hanya membalasnya dengan memainkan sentimen berkaitan DAP.
“AMANAH bersama rakan komponen PH akan terus konsisten memperjuangkan politik berteraskan prestasi serta berusaha mengubah pemikiran pengundi supaya meneliti keupayaan calon dan bukannya sentimen kaum semata-mata.
“Ini adalah satu perjuangan dan usaha berterusan untuk mendidik masyarakat.
“Adalah menjadi harapan dan cita-cita PH serta AMANAH untuk mendatangkan kematangan dalam politik orang Melayu.
“Pada akhirnya, prestasi adalah perkara sebenar yang membezakan antara calon yang bertanding,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




